UMP bina jaringan antarabangsa dalam Global Classroom
Pekan, 28 Jun- Landskap pendidikan negara hari ini mengalami sisi transformasi yang pantas seiring dengan perkembangan teknologi yang pesat membangun. Di era melanial ini, kehidupan seharian kita dipengaruhi oleh penggunaan pelbagai gajet dan peranti dalam memudahkan urusan seharian yang kian cepat dan pantas berlalu. Tuntutan masa yang terhad memaksa kita mencari mekanisma yang lebih baik dalam sistem penyampaian dan aktiviti harian.
Melalui transformasi pendidikan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) bagi Lonjakan ke-9 merupakan petunjuk prestasi (KPI) untuk memperkasakan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) ke tahap yang lebih efektif dan berkesan kepada mahasiswa. Pelbagai pembaharuan dan juga pendekatan diambil oleh pihak kementerian untuk dipanjangkan kepada institusi pendidikan di Malaysia dalam memastikan golongan sasar dapat manfaat bagi pembelajaran dan juga perkongsian ilmu tanpa sempadan ini tanpa membelanjakan kos yang banyak.
Universiti Malaysia Pahang (UMP) tidak ketinggalan dalam menyahut seruan kementerian dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para mahasiswa serta masyarakat sekitar bagi perkongsian pembelajaran tanpa sempadan ini dengan memperkenalkan inisiatif Global Classroom yang dikendalikan oleh Pusat Sumber Pengajaran & e-pembelajaran (CIReL).
Menurut Pengarah CIReL, Ts. Dr. Adzhar Kamaludin, inisiatif Global Classroom ini disambut baik oleh pihak pengurusan universiti yang mana pelaksanaan awal bagi aktiviti Global Classroom ini bermula apabila satu NDA telah ditandatangani bersama pihak Kansai University pada April 2016.
“Aktiviti Global Classroom ini dijalankan melalui pendekatan Collaborative Open International Learning (COIL) yang mana rakan kerjasama dari universiti luar negara akan dijemput dalam sesi pengajaran & pembelajaran (P&P) secara atas talian. Pendekatan P&P melalui inisiatif Global Classroom ini memberikan pendedahan pembelajaran dengan rakan kerjasama antarabangsa sekaligus dapat mengukur tahap pengendalian pengajaran bagi kursus di UMP dengan universiti antarabangsa. Selain itu, pendekatan ini juga dapat mewujudkan jaringan koloborasi dan kerjasama akademik UMP dengan komuniti antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, kejayaan inisiatif “Global Classroom” ini memberikan semangat yang baharu kepada para pensyarah di UMP dalam mempelbagaikan pendekatan kaedah P&P yang lebih efektif dan menarik. Pada tahun lalu menyaksikan pencapaian yang amat baik dicatatkan oleh UMP iaitu sebanyak 42 sesi P&P telah dijalankan dengan kerjasama 39 buah universiti antarabangsa membabitkan 18 buah negara di seluruh dunia.
Pencapaian ini menunjukkan pembelajaran melalui inisiatif ini dapat membuka lembaran yang baru dalam teknik pengajaran dan pembelajaran sekaligus melahirkan generasi pelajar yang lebih bersifat terbuka dan berilmu melalui akses tanpa sempadan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah CIReL, Dr. Gan Leong Ming berkata, sesi interaktif melalui aplikasi ZOOM ini dapat menarik minat pelajar berinteraksi dengan lebih baik dan mudah melalui penggunaan peranti dan juga gajet yang terkini seperti laptop dan juga smartphone.
Kaedah ini sekaligus dapat membina dan memupuk keyakinan diri pelajar dalam berinteraksi dengan pelajar lain dari luar negara. Kualiti P&P pensyarah UMP juga dapat dipertingkatkan dan pensyarah akan berusaha menyediakan modul P&P yang lebih berkualiti setanding dengan universiti luar negara.
Dengan pencapaian yang baik bagi inisiatif ini, ianya sekaligus dapat memberikan akses kepada penjenamaan universiti kepada masyarakat luar sama ada tempatan mahupun antarabangsa yang secara tidak langsung dapat mempromosikan kepakaran yang terdapat di universiti ini.
Disediakan oleh Mohd Shahri Mohd Akhir daripada Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (CIReL), Jabatan Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa (JHEAA)
- 331 views