UMP dan DOSM perkasakan Komunikasi Statistik
PAYA BESAR, 15 Jun 2022 - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Pusat Kecerdasan Buatan dan Sains Data, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Forum Statistik bersempena Program Jelajah DUN bersama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bertempat di Dewan Astaka UMP Kampus Gambang baru-baru ini.
Forum yang bertemakan ‘Data Pemangkin Kesejahteraan Rakyat’ itu menampilkan dua panel hebat terdiri daripada Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid Ab Hamid daripada Pusat Sains Matematik (PSM), UMP.
Manakala Dekan Pusat Diploma dan Asasi, Profesor Madya. Dr. Roslinazairimah Zakaria bertindak sebagai moderator.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, forum ini bertujuan untuk membentangkan penemuan utama Banci Malaysia 2020 di peringkat Parlimen dan DUN di negeri Pahang bagi tujuan perancangan pembangunan negara hingga ke peringkat mikro.
“Pada masa yang sama dapat memperluaskan promosi penerbitan data Banci Malaysia 2020 di peringkat Parlimen dan DUN Negeri di samping meningkatkan literasi statistik serta memperkasakan komunikasi statistik terutamanya kepada ahli akademia dan pelajar.
“Kini DOSM telah membangunkan platform data terbuka yang dikenali sebagai KAWASANKU yang mengandungi informasi berkaitan profil demografi penduduk berdasarkan penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.
“KAWASANKU juga menyediakan pelbagai indikator sosial, ekonomi dan alam sekitar setempat yang berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid berkata, data yang disediakan oleh pihak DOSM amat penting dan dapat membantu penyelidik dan penyelidikan.
“Peranan DOSM dengan jalinan strategik seperti universiti awam juga amat berperanan dengan berkongsi kepakaran dan memberi nilai tambah kepada hasil analisis data.
“Data yang dianalisis akan memberi impak kepada sesuatu kawasan berdasarkan kesan yang kita peroleh malah ia dapat dijadikan data untuk menambah baik kawasan tersebut.
“Malahan, forum ini juga dapat menghebahkan isu-isu Sains data dan Kecerdasan Buatan yang terkini kepada para pelajar, staf dan orang awam.
Bagi Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin, pihaknya mengucapkan terima kasih dan berbesar hati dalam kerjasama dalam menjayakan program ini.
“Di samping itu, program ini juga dapat mengeratkan hubungan dan menggalakkan kerjasama antara akademia dan juga pakar dalam pelbagai bidang khususnya statistik dan data analitik.
“Menerusi program ini, para cendekiawan dapat memperoleh maklumat dan informasi yang sahih dalam bentuk ilmu dan hasil penyelidikan terkini dari pihak DOSM dan IYRES.
“Ia juga selaras dengan Pelan Strategik UMP 2021 -2025 untuk mengupayakan kebolehan teknologi dalam kalangan komuniti dan menjana teknologi termaju melalui inisiatif penyelidikan,” ujarnya.
Turut berlangsung pembentangan perkongsian dapatan dari Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) berhubung Kajian Pembangunan Belia Malaysia yang telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IYRES, Dr. Vellapandian a/l Ponusamy.
Hadir sama Pengarah, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Pahang, Khairolnizam Hassan dan Pengarah Pusat Kecemerlangan Kecerdasan Buatan dan Sains Data UMP, Dr. Noryanti Muhammad.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 98 views