Skip to main content

UMP hantar pasukan Sukarelawan KILAU bantu mangsa banjir di Baling

BALING, KEDAH, 15 Julai 2022 - Sungguh meruntun jiwa bagi pasukan sukarelawan UMP KILAU tatkala tiba di Kampung Masjid Iboi Baling yang dilanda tragedi banjir dan kepala air. 

Masih kelihatan rumah penduduk yang rosak teruk diselaputi lumpur dan ada yang kehilangan tempat berteduh akibat dihanyutkan arus banjir dalam bencana yang menimpa penduduk di Baling.
 
Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghantar misi bantuan sukarelawan yang diketuai oleh Eksekutif Kanan, Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti (PHKK), Hazlina Faisal yang juga merupakan Ketua Jawatankuasa Sukarelawan Komponen Staf bersama seramai 30 orang yang terdiri daripada pelajar, staf UMP dan staf Jabatan Pembangunan Komuniti, Program NCER UMP Advanced dalam Misi Bantuan Prihatin Pascabanjir.
 
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, sehingga kini seramai 60 sukarelawan KILAU UMP telah turun padang bagi membantu membersihkan rumah dan menyampaikan sumbangan keperluan makanan Yayasan UMP buat penduduk sekitar Kampung Bendang Pecah, Baling yang digerakkan pihak Jawatankuasa Sukarelawan Komponen Pelajar.

UMP hantar pasukan Sukarelawan KILAU bantu mangsa banjir di Baling

“Manakala pada kali ini pasukan sukarelawan KILAU di bawah Jawatankuasa Sukarelawan Komponen Staf pula berada Kampung Masjid Iboi Baling untuk meneruskan misi menghulurkan bantuan membersihkan rumah penduduk di samping mengagihkan sumbangan Yayasan UMP dan Persatuan Wanita UMP (Matahari) berbentuk pek keperluan makanan untuk penduduk di sana,” katanya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan UMP. 
 
Ujarnya, UMP prihatin terhadap bencana yang menimpa penduduk di sini pelbagai usaha digerakkan pihak UMP dan Yayasan UMP dalam meringankan beban penduduk yang terkesan.
 
Beliau menghargai jasa bakti pelajar dan staf yang sanggup berkorban masa serta tenaga untuk menyertai program kesukarelawanan seiring dengan nama Sukarelawan KILAU yang bermaksud Kreatif dan dekat di hati komuniti, Inovatif, Lestari, Agresif bertindak dan Universal. 
 
Terdahulu kumpulan pertama sukarelawan bergerak lebih awal dengan diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang membawa sumbangan barangan keperluan berupa makanan, air minuman, tuala wanita, lampin pakai buang dan lain-lain keperluan untuk diagihkan kepada penduduk di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai.
 
Dalam pada itu, Hazlina berkata, pihaknya banyak dibantu NGO lain dan sentiasa berhubung dengan Penghulu Mukim Kupang, Badrol Hisham Che Li untuk mendapatkan informasi bagi menyelaras aktiviti di sana memandangkan masih terdapat banyak rumah yang masih belum dibersihkan dan kebanyakan mereka masih menginap di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

UMP hantar pasukan Sukarelawan KILAU bantu mangsa banjir di Baling

Tambah beliau, para sukarelawan juga sangat komited dan sentiasa bersemangat untuk membantu penduduk dalam masa yang sama sentiasa memastikan sukarelawan berada dalam keadaan selamat serta memastikan kesihatan mereka dalam keadaan baik semasa di lapangan.
 
Sementara itu, bagi staf Jabatan Pembangunan Komuniti, Program NCER UMP Advanced, Muhamad Syahir Zaini Shahimi berkata, beliau berasa terpanggil untuk membantu dan meringankan beban mangsa yang terjejas dengan pascabanjir.
 
“Kami membantu membersihkan rumah-rumah yang terkesan dan menyumbang keperluan asas. 

“Kami berharap usaha murni ini dapat meringankan sedikit beban kepada mangsa yang terlibat,” ujarnya. 

Turut berada di lokasi kunjungan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Yang Berhormat Tan Sri Haji Noh Omar dan Ahli Parlimen Baling Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim yang hadir bertemu serta merakamkan penghargaan terima kasih atas sumbangan bakti sukarelawan KILAU UMP dan NGO-NGO yang lain.
 
Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 
 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit