UMP kampus hijau lestari sasar Agenda Global SDG
PEKAN, 2 Disember 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) giat menjalankan program bertunjangkan kepada Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang menjadi agenda global seiring dengan 17 matlamat yang perlu dicapai seperti yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk semua negara menjelang 2030.
Peranan universiti amat besar dalam membantu negara mencapai SDG untuk kelestarian masyarakat dan ia merangkumi usaha memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki boleh dipercayai, lestari dan mampan untuk semua terutamanya buat warga kampus.
UMP turut membabitkan bukan sahaja warga kampus malahan komuniti setempat untuk sama-sama mencapai SDG dengan mengadakan pelbagai program lestari serta menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan hutan dalam usaha menangani isu perubahan iklim.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, penganjuran Program Jelajah Kampus Hijau Bersama Media pada hari ini mengajak para pengamal media dan agensi di negeri Pahang untuk sama-sama meneroka keindahan kampus hijau lestari.
“Program ini dianjurkan untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan penanaman pokok, penjagaan dan teknik pemuliharaan tahap kualiti air tasik dan menyemarakkan semangat sukarelawan serta cintakan alam sekitar.
“Penganjuran acara ini juga adalah seiring dengan komitmen universiti dalam menyokong matlamat SDG, di samping memberi pendedahan mengenai kepentingan menjaga kesihatan dengan amalan gaya hidup sihat dan persekitaran hijau.
“UMP sangat berbesar hati mendapat kerjasama yang tidak berbelah daripada pihak agensi media dalam menyampaikan perkembangan dan kecemerlangan universiti kepada khalayak ramai,” katanya yang hadir ketika melepaskan ikan dan menyaksikan aktiviti berkayak di tasik UMP.
Program yang disertai 40 pengamal media di negeri itu berpeluang meninjau ke beberapa kawasan hijau yang menjadi tarikan baharu di universiti ini termasuklah pondok wakaf teknologi solar di Rimba Lestari yang mampu memberi kemudahan buat pengunjung mendapatkan sumber tenaga bagi kegunaan gajet elektronik.
Menjelang 20 tahun UMP pada 16 Februari 2022 sebanyak 20 program sambutan telah dirancang sepanjang tahun hadapan melibatkan kerjasama semua pusat tanggungjawab (PTJ) di universiti yang merangkumi kluster akademik, hal ehwal pelajar dan alumni, penyelidikan dan inovasi serta sambutan.
Pihaknya menghargai sokongan media dengan publisiti dan liputan meluas yang telah diberikan oleh pihak media sejak penubuhan UMP yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia (KUKTEM) sejak 19 tahun lalu.
Masyarakat awam kini telah mengenali UMP dan mengetahui peranannya dalam melahirkan jurutera dan teknologis yang berdaya saing.
Dalam pada itu, Presiden Kelab Media Pahang, Dato’ Nik Naizi Hussin berkata, pihaknya menghargai komitmen UMP dalam menjalinkan hubungan erat bersama media sejak awal penubuhan lagi.
“UMP sentiasa dekat di hati para pengamal media dan mengharapkan kerjasama ini akan terus berkekalan dengan penganjuran pelbagai program rekreasi, khidmat komuniti dan lain-lain.
“Pihak kami juga merakamkan terima kasih atas sumbangan kad publik ahli perpustakaan buat pengamal media untuk mendapatkan fasiliti di universiti ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, sebagai sokongan kepada program UMP, pihaknya akan menyertai cabaran program Tok Gajah Virtual Challenge anjuran Yayasan UMP dalam usaha mengumpul dana bagi membantu komuniti serta pelajar yang kurang berkemampuan.
Cabaran ini membolehkan peserta untuk melaksanakannya melalui pelbagai bentuk senaman sama ada berkonsepkan berjalan, berjoging, berlari mahupun berbasikal dengan sasaran 30 km yang berakhir 31 Disember ini.
Program Jelajah Kampus Hijau Bersama Media itu turut dihadiri Pengarah RTM Pahang, Ariffin Awang, Ketua Program Pahang FM, Jaya Brabu a/l Balasubramaniam.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Pendaftar, Hazmin Aris, dan Ketua Pustakawan, Azman Abdul Rahim.
Turut sama ketua biro dan wakil agensi daripada Bernama, Fikrah Pahang, Harian Metro, Malaysia Gazette, Kosmo, New Straits Times, RTM Pahang/RTM TV, Star Media Group Berhad, Utusan Malaysia, China Press, dan Sin Chew Daily.
Turut sama hadir wakil daripada Jabatan Penyiaran Pahang dan Unit Komunikasi dan Media Pahang serta lain-lain agensi media di negeri Pahang.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)