UMP kekal tradisi makan dalam talam erat ukhuwah
KUANTAN, 8 April 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus mengekalkan tradisinya di bulan Ramadan dengan menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma menggunakan talam kepada warganya yang berbuka puasa di Masjid UMP Kampus Gambang dan Pekan sejak lebih sepuluh tahun lalu.
Ia pasti menggamit nostalgia dan rindukan makan bertalam bagi mereka yang pernah menuntut di unversiti ini.
Seperti kebiasaan juga juadah tersebut akan dihidangkan di dalam talam untuk hidangan antara lima hingga enam orang dan konsep bertalam ini diambil dari sunnah Rasullullah SAW yang banyak memberi manfaat serta merapatkan silaturahim antara satu sama lain.
Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zaiuddin turut meluangkan masa bersama-sama pelajar untuk menyediakan juadah dan berbuka puasa di Masjid UMP.
Beliau berkata, tradisi ini terus dikekalkan di universiti ini yang secara tidak langsung dapat merapatkan ukhuwah antara warganya.
Lebih menariknya, penyediaan memasak dijalankan secara bergotong-royong melibatkan staf dan sukarelawan pelajar secara bergilir mengikut jadual yang ditetapkan pada setiap hari sejak 1 Ramadan.
Dalam pada itu, UMP turut menyediakan roller conveyer iaitu satu set pengagihan makanan bagi memudahkan petugas menyediakan juadah untuk santapan jemaah masjid secara kemas, efisien dan selamat.
Set ini terdiri daripada bekas periuk paras pinggang dan roller conveyor daripada bahan aluminium yang ringan untuk diletakkan talam hidangan di UMP Kampus Gambang.
Tambah Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, segala perbelanjaan adalah hasil sumbangan staf secara tunai mahupun melalui potongan gaji dalam kalangan staf universiti yang berhasrat bersedekah dalam memanfaatkan bulan yang penuh keberkatan,” katanya.
“Penyediaan juadah berbuka puasa disediakan dengan kuantiti sebanyak 2,000 pelajar hasil sumbangan organisasi korporat, anak syarikat UMP, jabatan dan Tabung Ramadan Yayasan UMP yang diterima daripada pihak luar termasuk individu dan pihak korporat yang menyumbang untuk melalui Yayasan UMP.
Pada tahun ini, sebanyak RM 240,000 disasarkan dengan penyelarasan di bawah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) bagi tujuan penyediaan iftar kepada mahasiswa UMP sepanjang bulan Ramadan ini.
Hadir sama dalam program Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Yang di-Pertua, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP, Agha Khilfi Suarno.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.
- 123 views