UMP lancar Kolej Kediaman Mawaddah berkonsepkan wakaf
PEKAN, 28 April 2023 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini memiliki penginapan mahasiswa berkonsepkan wakaf yang pertama di Malaysia apabila Kolej Kediaman Mawaddah yang terletak di UMP Pekan siap sepenuhnya dan dilancar hari ini.
Usaha ini hasil inisiatif murni pihak pengurusan universiti yang prihatin terhadap kebajikan mahasiswa malahan menjadi lambang kejayaan suatu kerjasama erat antara semua pihak yang telah menyumbang dalam merealisasikan hasrat mewujudkan kolej kediaman dalam kampus berasaskan konsep wakaf.
Projek pembangunan penginapan di tapak seluas 2.0 ekar di UMP Pekan ini merupakan inisiatif pengurusan universiti bersama Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam usaha membantu mahasiswa yang bekeperluan dan mempunyai masalah kewangan serta kos sewa rumah yang semakin meningkat yang terpaksa ditanggung mereka.
Kolej Mawaddah ini menempatkan sebanyak 110 bilik kediaman pelajar yang kondusif dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan fasiliti, sokongan akademik, aktiviti sosial, kegiatan sukan dan kegiatan kebajikan.
Kemudahan ini dibuka kepada semua mahasiswa berkeperluan, namun keutamaannya adalah kepada kumpulan mahasiswa asnaf dan anak yatim.
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang turut dihadiri Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abu Musa Asa’ari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato' Ahmad Hairi Hussain dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Mohd Zabri Yusoff.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMP telah membina Kolej Kediaman Mawaddah yang melibatkan mahasiswa yang akan mendiami kolej kediaman ini secara sukarela terlibat dalam wakaf tunai melalui yuran asrama.
“Amalan wakaf tunai daripada setiap mahasiswa tersebut akan meringankan perbelanjaan UMP dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan dan kebajikan, pendidikan, kesihatan dan lain- lain.
“Saya percaya, penerimaan dan penglibatan mahasiswa dalam wakaf tunai ini akan memberi impak yang positif kepada pembangunan UMP.
“Dana wakaf tunai yang diterima itu akan digunakan sebagai pelengkap (complimentary) kepada usaha-usaha pembangunan lain oleh pihak UMP,” katanya.
Selain itu, konsep Mawaddah ini juga sejajar dengan pengamalan konsep kasih sayang dalam mewujudkan suasana saling memahami dan saling menghargai di antara penghuninya serta membina jati diri para pelajar dalam meningkatkan kemahiran kepimpinan dan kemahiran sosial, serta memberikan pengalaman pembelajaran secara komprehensif dan tuntas untuk mereka.
Menurutnya, pihaknya menghargai sokongan pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang meluluskan permohonan derma wakaf sejak September 2016.
“Langkah proaktif oleh pihak UMP dan MUIP ini juga telah merealisasikan hasrat untuk membantu pelajar yang mempunyai masalah kewangan serta kos sewa rumah yang semakin meningkat dari masa ke semasa yang perlu ditanggung oleh mereka,” ujarnya.
Berkongsi perkembangan pembinaan bangunan kolej ini, menurutnya projek pembinaan telah dimulakan pada tahun 2017 dengan dana permulaan berjumlah lima juta ringgit dan telah mengalami sedikit kelewatan susulan pandemik COVID-19 bermula pada tahun 2020.
Bangunan ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 220 orang mahasiswa berkeperluan, terutamanya golongan asnaf dan anak yatim.
Dalam pada itu, menyedari kepentingan nilai-nilai murni dalam melahirkan insan yang berakhlak mulia, seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, para penghuni Kolej Kediaman Mawaddah ini akan melalui satu program pembangunan pelajar melalui konsep kepimpinan A.D.A.B iaitu, A- Attitude (Adab), D-Dynamic (Dinamik), A-Agile (Pantas) dan B-Balance (Seimbang) yang akan menjadi DNA mahasiswa UMP di mata dunia.
Beliau mengharapkan pihak pengurusan akan terus berkerjasama erat dengan Yayasan UMP bagi memastikan aspirasi dan agenda pembinaan Kolej Kediaman Mawaddah melalui penggemblengan usaha warga kerja UMP di semua lapisan secara menyeluruh.
Turut berlangsung sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat universiti yang dimeriahkan dengan 25 buah reruai pelbagai menu menarik untuk dinikmati bersama warga UMP.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut berpeluang berkunjung ke reruai makanan dan melawat Kolej Kediaman Mawaddah.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 296 views