UMP lancar Projek Gerobok Rezeki #BPACare
Kuantan, 3 Oktober – Prihatin dengan masaalah mahasiswa yang kurang berkemampuan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan Projek Gerobok Rezeki #BPACare sempena Hari Terbuka Bahagian Pengurusan Akademik 2018 (HTBPA) di UMP kampus Gambang.
Projek Gerobok Rezeki #BPACare dilancarkan oleh Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Abd. Hamid Majid yang turut dihadiri Pengurus Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Zainuddin Mat Husin, Pengurus Kanan Bahagian Pentadbiran Kampus Gambang, Hj. Wan Abdul Rashid Wan Abdul Rahman dan Pengurus Besar Kewangan dan Pelaburan, UMP Advanced Education, Azlizal Abu Bakar.
Menurut Abd. Hamid, pihak pengurusan UMP mengalu-alukan pandangan dan maklumbalas dalam kalangan mahasiswa untuk membawa perkhidmatan ke satu tahap yang lebih baik bertepatan dengan pencapaian taraf 5 bintang yang diperolehi UMP, terutamanya membabitkan keperluan mahasiswa. Malahan dengan adanya inisiatif ini juga akan membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan barangan keperluan di Gerobok Rezeki #BPACare.
“Ianya dapat memupuk nilai murni dan semangat saling membantu dalam kalangan warga UMP dalam usaha memastikan barangan dan stok sumbangan sentiasa ada dan mencukupi dan antara barangan keperluan utama mahasiswa yang boleh didapati di Gerobok Rezeki adalah makanan, alat tulis dan barangan penjagaan peribadi,” katanya.
Projek Gerobok Rezeki #BPACare ini diinspirasikan daripada progam Projek Gerobok Humanity yang bertujuan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mensasarkan mahasiswa UMP yang kurang berkemampuan. Melalui projek ini, satu almari ditempatkan di Pejabat BPA Gambang dan Pekan bagi membolehkan mahasiswa mengambil apa sahaja barangan keperluan yang dikehendaki secara percuma. Projek ini juga sebagai menyokong program MyGift UMP yang giat dijalankan UMP khususnya dalam membantu mahasiswa dan komuniti setempat.
Dalam pada itu pihak BPA juga membuka ruang kepada warga UMP yang ingin menghulurkan sumbangan sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan. Sumbangan boleh dihantar ke Pejabat BPA Pekan atau Gambang.
Pada masa yang sama juga berlangsung Hari Terbuka Bahagian Pengurusan Akademik 2018 di Ruang Legar BPA. Pelbagai aktiviti menarik diadakan untuk mahasiswa seperti Klinik Pengiraan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA/CPA), Taklimat Direct Entry, Taklimat Akademik, Kaunter Sewaan Jubah Konvokesyen, Kuiz, Cabutan Bertuah, Mini-Game dan Photo Booth. Selain itu pihak Jabatan Bendahari dan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) turut bekerjasama membuka kaunter bagi membantu mahasiswa dari segi kewangan termasuk berkaitan yuran dan masalah ICT.
Disediakan oleh Nor Sa’adatul Afzan Jusoh dan Juliana Mohd. Ali
- 165 views