UMP, RTM, ADABI santuni warga kampus dalam Jelajah Ramadan 2023
PEKAN, 24 Mac 2023 - Program kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan RTM dan Adabi dalam Jelajah Ramadan 2023 bersama warga kampus dalam bulan Ramadan bersempena sambutan 21 tahun UMP dan 77 tahun RTM pada tahun ini mendekatkan hubungan baik dengan masyarakat setempat.
Program Jelajah Ramadan itu juga sebagai tanda keprihatinan warga UMP dan RTM dalam menyantuni masyarakat di sekitar negeri Pahang bagi menyambut bulan Ramadan al-Mubarak 1444H.
Program itu juga merupakan kesinambungan program kerjasama UMP dan RTM sejak tahun 2016 dengan penganjuran program bertemu masyarakat dalam beberapa siri jelajah termasuklah Moh La Weh yang diadakan di Janda Baik, Tioman dan Chemomoi.
Pada tahun ini, kedua-dua pihak juga berhasrat untuk mengadakan program Jelajah Syawal dan Jelajah Prihatin di beberapa lokasi yang akan dikenal pasti.
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, dalam usaha untuk mengimarahkan Ramadan, UMP bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa secara berjadual dan bergilir-gilir mengikut jabatan yang diselaraskan oleh Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) untuk seramai 2,000 orang pelajar pada setiap hari sepanjang Ramadan ini.
“Dengan sasaran sebanyak RM240,000 bagi penyediaan juadah ini, UMP mempelawa syarikat korporat dan orang ramai untuk sama-sama menyumbang ke Tabung Ramadan di bawah Yayasan UMP,” katanya.
Manakala bagi Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Ariffin Awang, pihaknya berpeluang bertemu dan bergotong-royong memasak bersama-sama.
Turut diadakan Forum Muqarrabin dengan penceramah jemputan, PU Angah atau Abdul Hafiz Mad Radzi dan Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan, Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas.
Lebih bermakna pihak syarikat pengeluar produk-produk makanan, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) turut memilih UMP bagi program memasak dan mengedarkan lebih 800 pek bubur lambuk kepada para pelajar dan warga kampus.
Warga kampus dapat menikmati juadah yang dimasak menggunakan rempah dan rencah Adabi dengan dibantu seramai 50 orang sukarelawan UMP Kilau yang hadir sejak awal pagi bagi penyediaan juadah memasak, membungkus dan mengedar bubur lambuk.
Pada bulan Ramadan ini, pelbagai program dianjurkan pihak Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dan Yayasan UMP termasuklah Salam Cinta Ramadan bagi membantu pelajar luar kampus dan bantuan kepada komuniti yang memerlukan bagi memaknakan sambutan Ramadan dan persiapan Hari Raya Aidilfitri buat keluarga B40 dan berkeperluan.
Bersempena Jelajah Ramadan itu juga RTM turut menyumbangkan sebanyak 50 naskhah al-Quran kepada Masjid UMP, Masjid Kuala Pahang dan Masjid Tanjung Selangor, Pekan.
Manakala UMP menyumbangkan sebanyak 30 Bakul Rahmah UMP sumbangan Yayasan UMP buat komuniti yang berkeperluan di sekitar kampus.
Hadir sama Pengurus Besar Adabi Kuantan, Abd Rahim Mohd Nor, Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar dan Pengarah Perkhidmatan Pelajar UMP, Mohd Raizalhilmy Mohd Rais.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 118 views