Skip to main content
UMPSA berkolaborasi dengan MUIP dan Wakaf Pahang perkenal 8 inisiatif wakaf manfaat buat pelajar

UMPSA berkolaborasi dengan MUIP dan Wakaf Pahang perkenal 8 inisiatif wakaf manfaat buat pelajar

PEKAN, 21 Oktober 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkenalkan lapan inisiatif pembangunan yang membuka peluang kepada warga universiti, alumni, rakan industri, badan korporat dan masyarakat umum untuk bersama-sama menyumbang ke arah merealisasikan projek yang memberi manfaat kepada warga kampus dan masyarakat.

Usaha ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik antara UMPSA, Wakaf Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi memperluas penyertaan masyarakat serta memantapkan pembangunan wakaf.

Antara projek tersebut ialah Kolej Kediaman Mawaddah 2, Kolej Kediaman Mawaddah 3 (Ulul Albab) serta Menaik Taraf Unit Pergigian UMPSA Kampus Paya Besar. 

Turut disenaraikan ialah Inisiatif Wakaf Bas, Jambatan Titian Iman, Van Serbaguna Masjid Al-Jazari, Karpet Masjid UMPSA Paya Besar dan Dewan Serbaguna Masjid Al-Jazari. 

UMPSA berkolaborasi dengan MUIP dan Wakaf Pahang perkenal 8 inisiatif wakaf manfaat buat pelajar

Majlis menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Yang Hormat Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Hairi Haji Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif, Wakaf Pahang, Dr. Haji Mohd Azmi  Haji Othman bertukar  dokumen dengan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.

Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli menyaksikan acara pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bersempena dengan pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor (DTC) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), hari ini.

Profesor Ts. Dr. Yatimah berkata, wakaf merupakan amalan mulia yang membawa manfaat berpanjangan, bukan sahaja untuk generasi hari ini, malah untuk generasi akan datang. 

“Seiring dengan komitmen UMPSA dalam memperkukuh pembangunan universiti dan kesejahteraan ummah, dua inisiatif utama diperkenalkan, iaitu Wakaf Projek dengan lapan inisiatif dan Wakaf Tunai UMPSA. 

“Semua inisiatif ini mencerminkan usaha bersama dalam menyediakan kemudahan pendidikan, pengangkutan, kesihatan, kebajikan dan prasarana masjid demi manfaat warga universiti serta masyarakat,” ujarnya. 

UMPSA berkolaborasi dengan MUIP dan Wakaf Pahang perkenal 8 inisiatif wakaf manfaat buat pelajar

Selain itu, Wakaf Tunai UMPSA turut diperkenalkan sebagai platform yang memberi peluang kepada semua pihak untuk berwakaf mengikut kemampuan masing-masing.

Ujar beliau, melalui sumbangan yang dihimpunkan, usaha ini diharapkan dapat menyokong pembangunan pendidikan, kemudahan universiti dan kebajikan ummah, berdasarkan tujuan serta ketetapan wakaf yang diluluskan.

Kerjasama ini turut melambangkan komitmen bersama dalam membangunkan ekosistem wakaf yang mampan demi manfaat generasi kini dan akan datang.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri