UMPSA bersama peserta Projek Sistem Pertanian Pintar Berasaskan IoT tubuh KUTIP
PEKAN, 27 Jun 2024 - Penubuhan Koperasi Usahawan Tani IoT Pahang Berhad (KUTIP) iaitu sebuah koperasi pertanian yang ditubuhkan hasil inisiatif Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)bersama peserta di bawah Projek Sistem Pertanian Pintar Berasaskan IoT telah membuktikan keseriusan universiti dalam menyantuni golongan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (kumpulan B40) di negeri Pahang.
Dengan penubuhan koperasi ini, UMPSA akan dapat membantu para peserta projek ke arah pengurusan hasil tani yang lebih efisien melalui satu entiti koperasi yang lebih terancang dan mampan sejurus setelah program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) yang merupakan gabungan antara Sistem IoT (Internet of Things) dan fertigasi bagi memudahkan golongan B40 ini tamat.
Program DPUB itu berjaya membuka peluang para usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (kumpulan B40) menghasilkan produk pertanian (cili dan terung) ke pasaran setempat.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, penubuhan koperasi ini adalah inisiatif dan usaha UMPSA setelah memberikan bimbingan serta sokongan secara berterusan kepada para peserta sepanjang projek ini berlangsung.
“UMPSA ingin melihat semua para peserta projek ini berjaya dan mampu meneruskan legasi pertanian dengan lebih baik di masa akan datang.
“Pelancaran KUTIP ini adalah salah satu bukti komitmen universiti dalam memperkasakan masyarakat melalui inovasi dan teknologi.
“Kami berharap agar inisiatif ini dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada banyak pihak untuk terus berusaha dalam memajukan sektor pertanian negara,” ujar beliau.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie hadir bagi merasmikan Majlis Apresiasi Peserta Bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Peluncuran Koperasi Usahawan Tani IoT Pahang Berhad (KUTIP) di UMPSA Pekan.
Majlis turut dihadiri Pengarah Bersekutu Bahagian Penyampaian Strategik Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Haji Aizat Ponirin dan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Pahang, Syahirah Mohamad.
Selain itu, penubuhan KUTIP ini juga turut menggalakkan pembangunan sosial dan komuniti dengan menyokong usaha kerjasama dan pelaburan dalam infrastruktur serta perkhidmatan sosial tempatan.
Dalam pada itu, aktiviti KUTIP yang dirancang termasuklah penanaman tanaman kontan dan tanaman berdaun, penawaran input pertanian seperti baja, rangkaian pengedaran yang melibatkan pengedar, pembekal dan penyimpanan hasil pertanian, serta perkhidmatan perundingan, latihan dan khidmat teknikal.
Ini sekali gus akan memberikan kelebihan kepada para peserta untuk meningkatkan hasil pertanian mereka, mengurangkan kos operasi, dan memperluaskan pasaran bagi produk pertanian mereka serta memperkukuhkan rantaian bekalan dan memastikan kelestarian serta keberkesanan industri pertanian di kawasan masing-masing.
Bagi Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMPSA sebagai sebuah universiti yang berteraskan teknologi dan amat dekat dengan masyarakat amat berbesar hati untuk sentiasa menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat seiring dengan tema Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 ‘Teknologi untuk Masyarakat’.
Sementara itu, Haji Aizat berkata, pihaknya menghargai komitmen UMPSA, ketua program, para penyelidik dan peserta dalam menjayakan program DPUB sehingga berjaya menubuhkan KUTIP sebagai usaha membantu golongan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (kumpulan B40) di negeri Pahang.
Majlis menyaksikan peserta program, R. Rosnizan Ibrahim yang merupakan seorang ibu tunggal menerima Anugerah Petani Cekal atas usaha gigihnya yang konsisten mengusahakan projek ini.
Manakala bagi Anugerah Produktiviti Terbaik pula diraih Siti Aishah Mat Husaind dan Abdul Rahman Mohd. Salim yang mencapai nilai jualan bersih melebihi RM30,000.
Manakala Mohd Firdaus Abd Fatah menerima Anugerah Inovasi Pertanian atas kejayaannya memformulasi racun serangga organik dan baja bio-organik.
Bagi Anugerah Ikon Lestari pula diraih oleh Shamsudin Abd Hamid, Zakaria Mat Napi dan Abdul Ghaib Md Toha.
Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, Penolong Naib Canselor Pusat Jaringan Industri & Masyarakat, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Bendahari, Dato' Zainuddin Othman dan Ketua Pustakawan, Kamariah Gono.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 93 views