Skip to main content

UMPSA buka 2 reruai di PBAKL 2025

KUALA LUMPUR, 23 Mei 2025 – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 kembali menemui peminat dan pencinta buku di seluruh negara, bermula 23 Mei hingga 1 Jun 2025 ini.

Acara berprestij yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, selama sepuluh hari itu menghimpunkan 258 pempamer dari dalam dan luar negara.

Penerbit Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tidak ketinggalan menyertai pesta buku tersebut, sekali gus menandakan penyertaan kali ke-17 sejak penglibatan sulungnya pada tahun 1981.

Menurut Pengarah Penerbit UMPSA, Dr. Rozaimi Abu Samah, pihaknya berasa bertuah kerana tahun ini berpeluang membuka dua reruai.

“Reruai pertama terletak di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) di Dewan Tun Razak 3, manakala reruai kedua pula berada di Bilik Pulau Pinang, Aras 2.

“Selain itu, kami turut mengadakan tiga program Bicara Penulis di bawah platform penstriman langsung Republika Merah anjuran MAPIM bagi memperkenalkan naskhah terkini terbitan Penerbit UMPSA,” ujarnya. 

Program Bicara Penulis tersebut dijadualkan berlangsung pada 23, 24 dan 29 Mei 2025 yang membawakan tiga judul terpilih terbitan Penerbit UMPSA: Pahang pada Era British: Perubahan Sosial dan Ekonomi 1888–1957, Jejak Ayahanda: Riwayat Kepimpinan Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dan Penghakupayaan Tempatan dalam Keselamatan Jalan Raya My Safe Road.

Untuk makluman, PBAKL merupakan acara tahunan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Dewan Industri Buku Malaysia (DIBM), dengan kerjasama pelbagai persatuan buku negara ini.  

Maklumat lanjut mengenai PBAKL 2025 boleh layari klibf.my/v2/

Disediakan Oleh:  Shalfarina Shahriman, Penerbit UMPSA

Reports by:
Admin UMP News