UMPSA buka lebih ruang hulur bantuan bakal pelajar, memudah cara masuk universiti
PEKAN, 19 Oktober 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memberi ruang kepada semua pelajar universiti yang memerlukan bantuan kewangan dan lain-lain keperluan bagi memudah cara urusan memasuki UMPSA pada hari pendaftaran yang akan diadakan pada 28 September ini.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, pihak universiti dan Yayasan UMPSA sentiasa prihatin dalam menghulurkan bantuan buat pelajar berkeperluan dalam meringankan beban mereka terutamanya di awal pengajian semasa melangkah masuk ke menara gading.
“Bagi pelajar yang berkeperluan, mereka akan menerima Bantuan Awal Insentif Pendidikan Yayasan UMPSA dan Yayasan Perkasa Siswa sebanyak RM1,000 sebagai persediaan sebelum memasuki universiti serta Bantuan Komputer Riba untuk memudah cara pengajian pelajar kelak.
“Lain-lain adalah Bantuan CARE4U Yayasan Perkasa Siswa (RM200) dan Bantuan Yayasan Pelajaran MARA Tajaan Ekuiti Nasional (RM2,500).
“Di samping itu juga, pelajar turut berpeluang menerima Bantuan Dermasiswa B40 TVET Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang akan membiayai keseluruhan kos yuran pengajian dan bantuan elaun wang saku pelajar sepanjang tempoh pengajian di UMPSA,” katanya.
Selain itu, seramai 150 pelajar lepasan diploma, matrikulasi, politeknik, Kolej Vokasional dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang cemerlang dan terpilih menyambung pengajian di UMPSA juga bakal menerima Insentif Kecemerlangan Yayasan UMPSA bagi sesi akademik tahun ini.
Sehingga kini, seramai 162 bakal pelajar berkeperluan daripada keluarga B40 telah dikenal pasti.
Daripada jumlah ini, seramai 30 pelajar miskin telah dihubungi pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan disusuli dengan Program Ziarah Prihatin untuk mengenal pasti keperluan pendaftaran pelajar termasuk pengangkutan ke universiti.
Ujarnya beliau lagi, para ibu bapa daripada keluarga B40 tidak perlu gusar dengan pembiayaan pelajar memandangkan pihak universiti melalui Yayasan UMPSA turut menyediakan pelbagai bantuan seperti Insentif Kecemerlangan, Biasiswa UMPSA, Bantuan Komputer Riba, UMPSA Campus Pantry, Dapur Siswa, Bantuan Zakat untuk mahasiswa Muslim, Bantuan Sara Diri untuk mahasiswa Non-Muslim, Bantuan Musibah dan pelbagai lagi bantuan yang disediakan buat pelajar yang memerlukan.
“Selain itu, Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) juga turut membantu anak pertama dalam keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.
“Malahan, pelajar UMPSA juga boleh menggunakan aplikasi Kupon e-Kasih di aplikasi Adab@UMPSA untuk mendapatkan makanan secara percuma bagi mereka yang layak di kafeteria terpilih di dalam kampus Gambang dan Pekan.
“Inisiatif ini adalah disasarkan kepada pelajar daripada golongan B40 dan kurang berkemampuan yang mempunyai masalah kewangan sehingga kesempitan atau ketiadaan wang untuk makan,” ujarnya.
UMPSA telah memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM1.8 juta untuk pelbagai inisiatif khususnya bagi kebajikan pelajar.
Dalam pada itu, untuk rekod, pelajar UMPSA dalam kalangan B40 adalah sebanyak 70 peratus dan setakat bulan Jun, sekurang-kurangnya 1,200 pelajar telah menerima manfaat dari segi bantuan kewangan seperti zakat pelajar, biasiswa Yayasan UMPSA dan dermasiswa rakan kerjasama, serta insentif pendidikan dan kecemerlangan.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 169 views