UMPSA buktikan kecemerlangan inovasi, raih johan di KIK UA KE-18
KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila meraih tiga kemenangan pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Universiti Awam (KIK UA) Ke-18 yang berlangsung pada 4 hingga 6 Ogos 2026 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Konvensyen yang menghimpunkan 53 kumpulan daripada universiti awam seluruh negara itu menyaksikan UMPSA diwakili oleh enam kumpulan, iaitu KIKEE (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik), Savior (Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta), EurekaX (Pusat Sains Matematik), Remake Creative (RMC) (Jabatan Penyelidikan dan Inovasi), FistXpert (Fakulti Sains dan Teknologi Industri) dan FasTech (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses).
UMPSA berjaya meraih johan bagi Kategori Inovasi Sosial (Penambahbaikan) menerusi Kumpulan Savior dengan projek bertajuk ‘2nd GEN I-ECOBATOR’, manakala Kumpulan EurekaX muncul naib johan bagi kategori yang sama melalui projek ‘Math Honeycomb – Inovasi Lipatan Heksagon Formula Matematik’.
Turut membanggakan, Kumpulan Remake Creative (RMC) meraih tempat ketiga bagi Kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penambahbaikan) menerusi projek ‘Rekod Penggunaan Peralatan Penyelidikan di Makmal’.
Konvesnyen yang berlangsung selama tiga hari itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM), Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.
Pendaftar UMPSA, Dato' Saiful Bahri Bakarim turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua kumpulan yang mewakili universiti.
“Tahniah kepada semua kumpulan atas komitmen dan semangat inovasi yang dipamerkan sepanjang konvensyen.
“Sama ada berjaya meraih anugerah atau tidak, anda semua telah mengharumkan nama UMPSA.
“Semoga kejayaan dan pengalaman ini menjadi pemangkin untuk terus menghasilkan inovasi yang lebih cemerlang,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus menghasilkan inovasi yang memberi impak kepada universiti, masyarakat dan negara.
“Kejayaan yang diraih oleh kontinjen UMPSA merupakan hasil usaha dan komitmen semua kumpulan yang telah mewakili universiti.
“Ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan turut dizahirkan kepada Kumpulan KIKEE, FistXpert dan FasTech atas dedikasi, kreativiti dan semangat juang yang dipamerkan sepanjang konvensyen.
“Penyertaan mereka bukan sahaja memperkukuh pencapaian keseluruhan kontinjen UMPSA, malah membuktikan komitmen warga universiti dalam membudayakan inovasi dan penambahbaikan berterusan,” katanya.
Manakala Pengarah Kanan, Kualiti dan Penarafan, Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK), Profesor Ir. Dr. Norazwina Zainol juga berharap agar pengalaman yang diperoleh menjadi pemangkin untuk terus menghasilkan inovasi yang lebih berimpak pada masa akan datang.
Disediakan Oleh: Jamrah Mahat, Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK)
- 43 views
Reports by: