Skip to main content

UMPSA catat kejayaan 5 bintang dalam penarafan MyMoheS

PEKAN, 14 Ogos 2025- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencatat kejayaan membanggakan apabila memperoleh penarafan 5 bintang bagi MyMoheS, seperti diumumkan semasa Mesyuarat Kualiti Data Bil. 2/2025 di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 14 Ogos 2025 baru-baru ini.

Pencapaian ini merangkumi empat modul utama melibatkan pelajar, staf, penyelidikan dan maklumat institusi yang dinilai berdasarkan kesempurnaan data, kualiti data dan masa penghantaran.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias merakamkan penghargaan tahniah buat seluruh warga UMPSA dalam memastikan pengurusan data berkualiti serta amalan budaya kerja cemerlang yang dilaksanakan di universiti ini. 

“Kejayaan ini membuktikan komitmen UMPSA dalam memastikan pengurusan data yang berkualiti tinggi, tepat masa dan berintegriti selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). 

“Malah, ia juga turut mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya kerja cemerlang seiring dengan konsep SPIROS  iaitu Kemahiran (Skills), Kesempurnaan (Perfection), Impak (Impact), Daya Tahan (Resilience), Pengoptimuman (Optimization) dan Kelestarian (Sustainability). 

“Pencapaian ini juga mengangkat reputasi UMPSA sebagai universiti teknikal terbaik dan memberi keyakinan kepada pemegang taruh terhadap keupayaan universiti dalam pengurusan data yang berintegriti seiring keperluan di era digital ini,” ujarnya. 

Sistem MyMoheS merupakan sistem maklumat kebangsaan yang dibangunkan KPT bagi menyelaras dan menilai kualiti data universiti awam, Politeknik dan Kolej Komuniti secara sistematik, cepat dan tepat.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri