UMPSA dan Jabatan Penjara Malaysia perkukuh jalinan kerjasama akademik, penyelidikan dan pemerkasaan Agenda TVET
KAJANG, 4 Julai 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Jabatan Penjara Malaysia (JPM) memperkukuh hubungan kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan dan pemerkasaan agenda TVET.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dan Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Mohamad Hilmi Mat Said menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Timbalan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia (Keselamatan dan Koreksional), TKJP Dato' Ibrisam Abdul Rahman dan Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan di JPM, KP Mohd Rosidek Musa.
Majlis disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Haji Nasarah di Auditorium Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM), Kajang.
Pada masa ini, program kerjasama antara UMPSA dan Jabatan Penjara Malaysia dilaksanakan dengan memberikan latihan teknikal teknologi Biofeedback kepada pegawai-pegawai di JPM dalam membantu program koreksional (pembetulan) dengan banduan.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, penggunaan alat Biofeedback adalah sebagai salah satu mekanisme untuk mengenal pasti tahap kepulihan banduan dilaksanakan sejak tahun 2018 di bawah bimbingan Pensyarah PSK UMPSA, Profesor Ts. Dr. Muhammad Nubli Abdul Wahab.
“Kerjasama ini juga memberi peluang kedua-dua pihak untuk meneroka lebih banyak peluang berkongsi kepakaran antaranya pembangunan sumber manusia melalui penganjuran seminar, bengkel, kuliah, dan penerbitan yang berkaitan.
“Selain itu, kerjasama ini juga mampu memberi banyak peluang pembangunan dan penyediaan program akademik serta aktiviti peningkatan keupayaan melibatkan penyelidikan yang berkaitan serta pembangunan kepada kakitangan.
Universiti juga sedang merangka cadangan untuk membentuk Kor Siswa SISWI Koreksional (SISKOR) dalam kalangan pelajar UMPSA, pembangunan Sistem Profail Prospek, pembangunan alat Biofencing untuk kegunaan Banduan Parol/Tahanan Rumah dan pembangunan Modul Kepulihan Banduan untuk Tahanan Rumah.
Inisiatif ini juga menunjukkan komitmen berterusan UMPSA dan Jabatan Penjara Malaysia dalam mencari pendekatan inovatif untuk meningkatkan keberkesanan pemulihan banduan demi kebaikan negara dan masyarakat.
Hadir sama Penolong Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Pembangunan Pelajar), Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar dan Pengarah Akademi A.D.A.B, Dr. Siti Umairah Mokhtar.
Turut berlangsung majlis menandatangani MoU pihak JPM dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dihadiri Naib Canselornya, Profesor Dato' Dr. Fadzli Adam dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) oleh Rektor, Datuk Profesor Emeritus Dr. Osman Bakar.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 57 views