Skip to main content

UMPSA dan media pupuk gaya hidup sihat dalam Santai Boling

KUANTAN, 22 Oktober 2024 - Seramai 80 pengamal media, agensi media tempatan dan pengurusan universiti menyertai Program Mesra Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Bersama Media yang berlangsung di Premium Lanes Kuantan Plaza.

Bagi Pendaftar, Dato' Saiful Bahri Ahmad Bakarim yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, aktiviti bersama media itu bertujuan untuk merapatkan silaturahim dan menghargai sumbangan media dalam membantu menyalurkan maklumat berkaitan UMPSA.

“Aktiviti bersama media ini dianjurkan sebagai memupuk budaya intervensi terhadap kesihatan diri dan mewujudkan komuniti yang mengamalkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakan sekerja dan semua pengamal media. 

 "Terima kasih pada semua yang meluangkan masa bersama kami hari ini," katanya pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.

“Program pada malam ini adalah untuk bertemu dan mengeratkan lagi hubungan sesama kita selain dapat bertanya khabar sambil beriadah sebagai menyokong program gaya hidup sihat. 

“UMPSA juga sentiasa mencari ruang untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh mendekatkan pengurusan universiti dengan warga media,“ katanya. 

UMPSA dan media pupuk gaya hidup sihat dalam Santai Boling

Ujar beliau lagi, seiring dengan penjenamaan UMPSA, menerusi publisiti dan liputan meluas yang telah diberikan oleh pihak media, kini masyarakat awam telah mengenali UMPSA sebagai Universiti Teknikal Terbaik di Malaysia. 

“UMPSA sangat berbesar hati mendapat kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada pihak agensi media dalam menyampaikan perkembangan dan kecemerlangan universiti kepada khayalak ramai,” ujarnya. 

Hadir sama Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik, UMPSA, Profesor Dr. Kamal Yusoh, Bendahari, Dato’ Zainuddin Othman, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd Turan dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Mimi Rabita Abdul Wahit. 

Pertandingan disertai wakil dari Berita Harian (BH), TV3, Harian Metro, New Straits Times, TV Alhijrah , BERNAMA, Pahang Media, Kesultanan Pahang, TV3, Sin Chew, China Press, The Star dan lain-lain.

UMPSA dan media pupuk gaya hidup sihat dalam Santai Boling

Malah, beliau juga turut berpeluang menyantuni bersama `keluarga’ pengamal media dalam program ‘Santai Boling UMPSA-Media’ dan menariknya mengangkat tema riadah dengan berpakaian tradisional/batik pada malam itu. 

Program ini juga diadakan sebagai sebahagian daripada acara Ekspo Konvokesyen (ExpoConvo 2024’) yang bertemakan ‘Warisan Kita’ menjelang Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 bermula 26 sehingga 29 Oktober 2024 depan di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang. 

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran media dalam program Sidang Media yang akan dipengerusikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bagi memperkenalkan graduan cemerlang pada hari Jumaat, 25 Oktober 2024 jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Gambang. 

Katanya, pihak universiti sangat mengalu-alukan para wartawan dan pengamal media untuk sama-sama hadir untuk berkongsi kisah kejayaan graduan dan penerima anugerah kecemerlangan nanti. 

“Saya turut menghargai komitmen media yang sentiasa memberikan sokongan yang penuh terhadap semua aktiviti dan program yang dianjurkan oleh universiti. 

“UMPSA membuka seluas-luasnya kolaborasi yang dapat dimanfaatkan bersama kedua-dua pihak,” katanya. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Naqiah Puaad