UMPSA dilantik menjadi tuan rumah MAKUMA
KUANTAN, 19 Ogos 2026 - Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berbesar hati dilantik menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) kali ke-73 pada 18 hingga 20 Ogos 2026 yang lalu.
Mesyuarat yang diadakan di Dewan Melati, De Rhu Beach Resort Kuantan itu menghimpunkan 20 Felo MAKUMA yang terdiri daripada Pegawai Psikologi mewakili 20 universiti awam (UA) seluruh negara dan dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaya (UM) yang juga Pengerusi MAKUMA, Profesor Dr. Zamri Radzi.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang juga merupakan Timbalan Pengerusi MAKUMA, Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq serta wakil dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT), Nur Hazwani Fatin Nazri yang menyertai mesyuarat secara dalam talian.
Platform berkenaan bukan sekadar medan pertemuan antara Pegawai Psikologi, malah menjadi ruang strategik untuk berkongsi pengalaman, kepakaran dan pendekatan terbaik dalam menangani isu berkaitan kesejahteraan mahasiswa.
Dalam mesyuarat kali ini, perbincangan juga melibatkan semakan Garis Panduan Kesihatan Mental yang telah dihasilkan bersama dengan Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia (MAKESUM) serta penghasilan modul Pembimbing Rakan Siswa yang akan menjadi rujukan kepada semua mentor pelajar.

Usaha itu mencerminkan keperluan untuk memastikan pendekatan berkaitan kesihatan mental di institusi pendidikan tinggi sentiasa relevan, tersusun dan dapat dilaksanakan secara berkesan mengikut keperluan semasa mahasiswa.
Dalam masa sama, MAKUMA turut membincangkan penghasilan Modul Pembimbing Rakan Siswa yang bakal menjadi rujukan kepada mentor pelajar.
Pendekatan berasaskan rakan sebaya itu dilihat mampu memperluas jaringan sokongan dalam kalangan mahasiswa, khususnya kerana rakan merupakan antara individu yang paling hampir dengan kehidupan harian pelajar di kampus.
Selain aspek intervensi, mesyuarat turut menekankan kepentingan meningkatkan profesionalisme Pegawai Psikologi UA menerusi peluasan jaringan latihan profesional di peringkat antarabangsa.
Langkah itu penting bagi memastikan warga profesional dalam bidang psikologi dan kaunseling sentiasa mempunyai pengetahuan, kemahiran serta pendedahan terkini untuk berdepan dengan landskap cabaran mahasiswa yang semakin kompleks.
Sebagai tuan rumah, UMPSA turut meraikan delegasi MAKUMA menerusi majlis makan malam yang dihoskan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed di Restoran Jaman Tory, Kuantan.
Disediakan Oleh: Paridah Mohd Ali, Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni
- 16 views
Reports by: