Skip to main content
UMPSA galakkan graduan MRSM Tun Abdul Razak lanjut pengajian dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi dan Sains Gunaan

UMPSA galakkan graduan MRSM Tun Abdul Razak lanjut pengajian dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi dan Sains Gunaan

PEKAN, 23 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menggalakkan graduan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan, Teknologi dan Sains Gunaan bagi membina kepakaran serta menyumbang kepada pembangunan negara.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, graduan perlu memilih laluan pendidikan berdasarkan minat, kebolehan dan potensi diri, dengan mengambil kira pandangan ibu bapa serta guru.

"UMPSA menawarkan program berasaskan gabungan teori dan amali, termasuk program ijazah dual bersama universiti di Jerman, China, Kazakhstan dan Korea Selatan yang membolehkan pelajar memperoleh dua ijazah.

"Selain itu, UMPSA turut menyediakan pelbagai bantuan kewangan dan penajaan kepada pelajar yang layak, antaranya Biasiswa Sulung, Biasiswa Yayasan UMPSA dan Biasiswa Ulul Albab," ujarnya.  

Turut sama hadir Pengetua MRSM Tun Abdul Razak, Almi Jaafar.

 

Profesor Ts. Dr. Yatimah yang hadir merasmikan Majlis Graduasi MRSM Tun Abdul Razak Tahun 2026 turut menasihatkan para graduan supaya mengamalkan disiplin, menjaga integriti dan menggunakan teknologi serta kecerdasan buatan secara bijaksana.

  Profesor Ts. Dr. Yatimah

Beliau turut menyeru pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar merancang ulang kaji, memperbanyak latihan dan menjaga kesihatan bagi menghadapi peperiksaan dengan yakin.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, guru, pihak pengurusan MRSM Tun Abdul Razak dan MARA atas komitmen mereka dalam membimbing serta membentuk generasi muda.

Beliau berharap para graduan terus mengejar kecemerlangan, menghargai jasa keluarga dan pendidik serta menyumbang kembali kepada masyarakat melalui ilmu dan kepakaran yang dimiliki.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Permata Subjek, Anugerah Citra Cendekia dan Anugerah Tun Abdul Razak sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian serta kecemerlangan pelajar oleh Naib Canselor UMPSA.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri