Skip to main content

UMPSA jalin hubungan erat dengan industri dan agensi

SHAH ALAM, 18 Januari 2024 - Penganjuran Program Mesra Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama Industri dan Agensi mengukuhkan lagi ikatan persahabatan dan mempertingkatkan jaringan yang lebih erat antara universiti-industri.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, penganjuran program seperti ini merupakan satu lagi sinergi penting dalam pengembangan jaringan strategik UMPSA dengan industri.

“UMPSA sebagai salah sebuah Universiti Teknikal di bawah Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) sentiasa komited untuk membina kerjasama bermakna bersama pihak industri dalam usaha untuk melahirkan graduan yang kompeten, kalis cabaran dan menepati kehendak industri pada masa kini,” katanya.

Beliau hadir meraikan rakan kolaborasi sempena penganjuran Kejohanan Persahabatan Sukan Golf di Glenmarie Golf & Country, Shah Alam anjuran Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) hari ini.

UMPSA jalin hubungan erat dengan industri dan agensi

Beliau juga yakin pertemuan ini membolehkan universiti membina hubungan jaringan dan rangkaian komunikasi, berkongsi perkembangan serta pencapaian universiti.

Katanya, kerjasama ini juga boleh dijalinkan menerusi aspek Pembelajaran Berasaskan Kerja atau Work-Based Learning (WBL) yang merupakan salah satu kaedah pembelajaran bagi memastikan para pelajar dapat menguasai kandungan pembelajaran berasaskan aktiviti bekerja.

“Selain itu, kerjasama yang boleh dirintis mencakupi geran padanan industri, peluang pekerjaan kepada graduan UMPSA, penempatan staf dan pelajar bagi mengikuti latihan industri.

“Pihak industri juga boleh bekerjasama dalam tujuh bidang fokus utama UMPSA iaitu Energy Sustainability, Material Science, Management & Social Science, Artificial Intelligence, Biotechnology, Vehicular Technology dan Fine & Specialty Chemical.

“UMPSA juga akan turut menganjurkan lebih banyak program bersama rakan kolaborasi pada masa akan datang,” ujarnya. 

Hadir sama Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar.

Turut sama hadir Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Dato' Sri Ahmad Fuaad Kenali dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Program turut dihadiri wakil industri daripada B-Crobes Group of Companies, Petro Safety Training and Consultancy Sdn. Bhd., Sysbot Resources Sdn. Bhd., 3D Gens Sdn. Bhd, juga lain-lain industry. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Naqiah Puaad