UMPSA jalin kerjasama dengan Konsortium Padi dan Beras Rakyat (KPBR) hasil beras prebiotik pertama negara
TEMERLOH, 16 Ogos 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) jalin kerjasama dengan Konsortium Padi dan Beras Rakyat (KPBR) dalam pembangunan penyelidikan beras prebiotik pertama negara.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Majlis juga menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha menandatangani perjanjian bersama Ketua Pegawai Eksekutif KPBR, Dato Fairuz Haji Hassan.
Beliau hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, kerjasama ini melibatkan penyelidikan baja organik Prebiotik untuk penanaman padi bagi menghasilkan Beras Prebiotik gred premium di Ganchong, Pekan yang diketuai oleh penyelidik UMPSA, Ts Dr Noormazlinah Ahmad, dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP).
“UMPSA mempunyai kepakaran dalam menghasilkan baja organik prebiotik berpotensi menggantikan baja yang menyumbang kepada penghasilan beras tempatan yang berkualiti tinggi.
“Usaha ini dapat memberi nilai tambah kepada industri padi melalui pendekatan agrobioteknologi dan menyokong usaha pertanian mampan dalam mengurangkan kebergantungan pada penggunaan bahan kimia yang dapat menambah nilai ekonomi bagi petani melalui produk beras premium,” katanya.

Dalam pada itu, beras prebiotik yang dikenali sebagai Beras Pahang ini bukan sekadar beras biasa, ia beras prebiotik dengan kadar gula kosong juga rendah indeks glisemik serta tinggi serat dan sesuai buat mereka yang menghidap penyakit diabetes serta pertama dihasilkan di negara ini.
Kerjasama ini turut menyokong ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dengan memfokuskan terhadap keselamatan makanan dan peningkatan kesejahteraan masyarakat yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang inklusif, pengurangan kemiskinan dan pengurusan sumber alam secara mampan.
Majlis itu berlangsung sempena dengan Pelancaran Beras Pahang dan Pahang Best serta perasmian Mini Program Mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) Pahang 2025 di Dataran Temerloh.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 99 views
Reports by: