Skip to main content

UMPSA ke-5 terbaik dunia bagi SDG #1 Basmi Kemiskinan

PEKAN,1 Julai 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tersenarai di kedudukan 201-300 terbaik dunia dan kedudukan kelima terbaik dunia dalam Matlamat Pembangunan Mampan 1: Sifar Kemiskinan (SDG 1: No Poverty) terhadap usaha universiti dalam mendekati masyarakat setempat dan membantu meringankan beban golongan keluarga pelajar yang berkeperluan. 

Dalam penarafan bagi SDG ini menyaksikan Universitas Airlangga (Indonesia) berada di tangga pertama diikuti York University (Kanada), University of Johannesburg (Afrika Selatan), University of Indonesia, Abdullah Gul University (Turkiye) dan UMPSA. 

Lain-lain yang tersenarai diikuti Western University (Kanada), University of Pretoria (Afrika Selatan), Technologico de Monterrey (Mexico), King Faisal University (Arab Saudi), Lakehead University (Kanada) dan Universiti Malaya (Malaysia). 

Kejayaan ini membuktikan UMPSA terkehadapan dalam memperkasa usaha membasmi setiap bentuk kemiskinan tegar menepati kriteria yang digariskan dalam penarafan Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2024 yang merupakan antara penanda aras utama global dalam menilai sumbangan institusi pendidikan tinggi kepada UNSDG dalam aspek kemampanan. 

UMPSA ke-5 terbaik dunia bagi SDG #1 Basmi Kemiskinan

SDG1, UMPSA juga tersenarai dalam SDG4: Kualiti Pendidikan (65), SDG6: Air Bersih dan Sanitasi (37), SDG7: Tenaga Berpatutan dan Bersih (49), SDG12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab (89), SDG17: Kerjasama Global demi Pembangunan Mampan (89).

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, sebagai universiti terbaik dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA sentiasa komited dalam menjayakan usaha yang menyumbang kepada keperluan 17 Sasaran Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) seiring dengan agenda Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 yang bertemakan ‘Teknologi untuk Masyarakat’.

“Pihak universiti dan Yayasan UMPSA prihatin terhadap usaha menangani golongan berkeperluan dan memberi jaminan bahawa nasib pelajar yang kurang berkemampuan akan terus menjadi keutamaan universiti. 

“UMPSA akan terus memberi komitmen sepenuhnya untuk memastikan bahawa setiap pelajar, terutamanya mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan, memperoleh peluang pendidikan yang setara dan berkualiti. 

“UMPSA juga akan terus berusaha mempelbagaikan bentuk kesedaran terhadap kepentingan pendidikan malahan universiti juga menyediakan bantuan kewangan, sokongan akademik, dan pelbagai inisiatif untuk memastikan mereka dapat mengejar impian mereka tanpa sebarang halangan bermula dari pengambilan pelajar sehingga membawa kepada inisiatif yang dapat memanfaatkan keluarga dan masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, dalam usaha untuk menyokong usaha ini, UMPSA telah menyediakan Bantuan Awal Pendidikan dan Insentif Kecemerlangan sebanyak RM200,000 yang diperuntukkan di bawah Yayasan UMPSA untuk membantu pelajar baharu UMPSA bagi pengambilan program diploma dan program ijazah sarjana muda pada tahun ini. 

Ini termasuklah Bantuan Awal Pendidikan dan insentif kecemerlangan akan diberikan kepada pelajar yang memilih UMPSA sebagai universiti pilihan pertama.

Sumbangan ini adalah khusus untuk pelajar yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan dan pelajar cemerlang yang memenuhi kriteria yang ditetapkan. 

Dengan adanya peruntukan ini, UMPSA berharap dapat meringankan beban kewangan pelajar dan menggalakkan lebih ramai pelajar cemerlang memilih UMPSA sebagai destinasi pendidikan tinggi mereka.  

Selain itu, sebanyak RM1.8 juta telah diluluskan Yayasan UMPSA untuk bantuan kebajikan pelajar bagi tahun ini termasuklah Pemberian Zakat Pelajar, Bantuan Insentif Kecemerlangan dan Pendidikan, Bantuan Campus Pantry dan Dapur Siswa serta Penajaan Biasiswa UMPSA. 

Ini termasuklah penyediaan pakej makanan Ready to Eat menggunakan teknologi retort di bawah inisiatif food@campus (UMPSA Campus Pantry) dengan kerjasama dengan pelbagai pihak korporat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). 

THE Impact Rankings adalah sistem penarafan peringkat global yang menilai universiti di seluruh dunia berkenaan prestasi komitmen terhadap 17 Sustainable Development Goals (SDG) yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit