UMPSA komited memperkasakan semangat belia dan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa
KUANTAN, 15 Mei 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited dalam memperkasakan pembangunan mahasiswa berteraskan nilai holistik dan kesejahteraan mental menerusi penganjuran Program Semarak Hari Belia Negara Peringkat UMPSA 2025.
Program itu digandingkan bersama Pelancaran Bulan Kesihatan Mental UMPSA, bertempat di Dewan Kompleks Sukan, Kampus Gambang.
Majlis pada hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato' Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari.
Menurut Profesor Ts. Dr. Aida, tema Hari Belia Negara iaitu ‘Yakin Boleh‘ sangat bertepatan dengan aspirasi UMPSA untuk melahirkan belia yang percaya pada kemampuan diri, berani menghadapi cabaran serta tidak mudah berputus asa.
“Pendekatan A.D.A.B. (Agile, Dynamic, Aspire dan Balanced) merupakan kerangka pembangunan pelajar yang menyeluruh dan bersepadu.
“UMPSA sentiasa menekankan pentingnya kesediaan pelajar menghadapi realiti dunia semasa dengan penuh ketangkasan, berdaya cipta dan berpandangan jauh, di samping kekal utuh dengan nilai keseimbangan dalaman,” ujarnya.
Sempena Pelancaran Bulan Kesihatan Mental, yang bertemakan ‘Ubah Kesedaran Menjadi Tindakan‘ diangkat bagi menggalakkan warga kampus mengambil langkah aktif dalam menjaga kesihatan mental.
Malah, beliau turut menyeru agar isu kesihatan mental tidak lagi menjadi perkara tabu dan semua pihak perlu saling menyantuni, mendengar tanpa menghakimi, serta berani mendapatkan sokongan apabila perlu.
“Kesihatan mental mempengaruhi cara kita berfikir, merasa dan bertindak.
“Ia menentukan bagaimana kita berinteraksi, membuat keputusan, dan mengurus tekanan.
“Budaya kampus yang menyokong kesejahteraan mental adalah tanggungjawab bersama,” tambahnya.
Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Nor Azli Mohamad Daud, Penolong Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar), Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar, Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Hajah Aida Munira Abdul Rafar dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Saharuddin Ahmad.
Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif UMPSA untuk melahirkan graduan yang tidak hanya cemerlang dari sudut akademik dan kerjaya, tetapi juga mempunyai nilai jati diri, empati dan tanggungjawab sosial terhadap komuniti.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 207 views