Skip to main content

UMPSA lahirkan graduan hands-on rebutan industri

PEKAN, 6 Ogos 2026 – “Tanggapan bahawa kejuteraan kimia hanya berkisar tentang eksperimen di dalam makmal perlu dikikis segera,” tegas Dekan Fakulti Teknologi Kejuteraan Kimia dan Proses (FTKKP) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Sumaiya Zainal Abidin@Murad

"Kami bukan sekadar membuat bahan kimia. 

“Kami mereka bentuk alat dan proses untuk menghasilkan bahan kimia itu dalam skala besar. 

“Loji-loji penapisan petroleum yang anda lihat di Kertih dan Kemaman, itulah hasil kerja kami," ujarnya ketika tampil dalam Podcast 360 UMPSA terbitan Pusat Komunikasi Korporat (PKK) baru-baru ini yang dikendalikan oleh Pengarah PKK, Mimi Rabita Abd Wahit. 

Beliau yang telah berkhidmat selama 20 tahun di universiti itu berkata, FTKKP kini menawarkan pelbagai program yang melangkaui sempadan kejuteraan kimia konvensional termasuk Kejuteraan Pembuatan Farmaseutikal, Kejuteraan Mekanikal dalam bidang Petroleum serta Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas.

Graduan Belum Habis Belajar, Industri Sudah 'Cup' Dulu

Menariknya, Profesor Ts. Dr. Sumaiya mendedahkan bahawa beberapa syarikat multinasional kini mengadakan sesi temu duga secara dalaman (in-house) khusus untuk pelajar FTKKP sebelum mereka bergraduat.

“Industri suka graduan kami kerana mereka lebih hands-on dan berorientasikan praktikal. 

“Walaupun pointer mungkin 3.5 sahaja, cara mereka menyelesaikan masalah lebih realistik kerana sudah biasa dengan pendedahan industri sebenar semasa pengajian.

“Program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) yang menempatkan pelajar di industri selama setahun menjadi antara kelebihan utama fakulti kami dengan tiga lagi program bakal menyusul yang menawarkan skim serupa,” katanya. 

Ijazah Dual Bersama Universiti di China dan Jerman

Katanya, FTKKP turut menawarkan program ijazah dual bersama Tianjin University, China yang merupakan universiti sepuluh teratas negara itu, serta Mittweida University of Applied Sciences, Jerman.

“Pelajar akan mendapat dua sijil bergraduat yang membuka peluang pekerjaan lebih luas terutama dengan syarikat antarabangsa,” jelasnya. 

AI dan Digitalisasi Jadi Teras Kurikulum Masa Depan

Dr. Sumaiya turut berkongsi aspirasi beliau untuk memperkasakan elemen machine learning dan digitalisasi dalam kurikulum FTKKP bagi memastikan graduan kekal relevan dengan keperluan Revolusi Industri semasa.

“Benda senang sudah boleh dibuat oleh AI. 

“Yang industri perlukan adalah tenaga mahir yang boleh mencipta sesuatu yang baharu yang tidak boleh difikirkan oleh robot," tegasnya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengalu-alukan pelajar baharu yang bakal mendaftar pada bulan September ini untuk memilih UMPSA, yang kini berada di bawah naungan MTUN nombor satu Malaysia.

“Guru-guru dan pelajar sekolah menengah yang berminat boleh menghubungi pihak fakulti untuk lawatan atau melayari laman web rasmi di studyumpsa.edu.my bagi maklumat lanjut,” katanya ketika mengakhiri perbualan. 

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri