Skip to main content

UMPSA lancar jentera lumba berenjin dan elektrik Pasukan E-Motion UMPSA Motorsport

KUANTAN, 29 Ogos 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) lancar  jentera lumba berenjin dan elektrik Pasukan E-Motion UMPSA bersempena dengan Temasya Warisan Pahang 2026 yang berlangsung di Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah. 

Majlis dirasmikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bersama Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Dato’ Setia Jaya Dato’ Ahmad Farid Abd Jalal yang turut menyaksikan pengenalan jentera terbaharu hasil reka bentuk dan kejuruteraan pelajar  UMPSA. 

Hadir sama Penasihat Kelab UMPSA Motorsport, Ts. Dr. Mohd Fadzil Abdul Rahim. 

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, pasukan E-Motion UMPSA ini pada asalnya bermula di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) sebelum bernaung secara rasmi di bawah Kelab UMPSA Motorsport pada bulan November 2025. 

UMPSA lancar jentera lumba berenjin dan elektrik Pasukan E-Motion UMPSA Motorsport

“Pasukan ini menghimpunkan bakat-bakat mahasiswa daripada bidang teknologi, teknologi kejuruteraan dan kejuruteraan, termasuk pelajar program ijazah dual UMPSA. 

“Malahan fokus utama pasukan ini adalah untuk menguasai kejuruteraan kenderaan berprestasi tinggi, teknologi elektrik (EV), hibrid (HEV), serta sistem berautonomi.

“Rekod kejayaan pasukan ini amat membanggakan apabila Pasukan E-Motion telah mula mencuri perhatian negara apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan pada siri pertama Next Generation Vehicle (NxGV) Challenge 2025 yang dianjurkan oleh MARii dan SAE Malaysia bersama penaja utama PERODUA,” ujarnya. 

Kecemerlangan ini diteruskan lagi pada 21 hingga 23 April 2026 yang lalu, apabila pasukan menyertai Formula Student Malaysia (FSM2026) di Litar Dato' Sagor, Perak menerusi dua kategori utama iaitu 150cc Internal Combustion Engine (ICE) dan Electric Vehicle (EV).

Pasukan E-Motion UMPSA Motorsport kini bersedia menggalas cabaran bagi NxGV Challenge 2026-2027 menerusi tiga kategori utama: Hybrid Electric Vehicle (HEV), Electric Vehicle (EV), dan Driverless Vehicle (DV).

Mengikut perancangan, cabaran terdekat bagi kategori Driverless Vehicle (Tahap 1) akan berlangsung pada 24 hingga 27 September 2026 ini. 

Manakala kemuncak pertandingan bagi kategori EV dan HEV dijadualkan pada 11 hingga 15 November 2026. 

Seluruh usaha ini akan memuncak pada Grand Finale NxGV 2026-2027 bersempena dengan Malaysia Autoshow 2027 pada bulan Mei 2027 kelak.

Pihak universiti menghargai sokongan Perbadanan Muzium Negeri Pahang atas sokongan dan peluang Pasukan E-Motion bagi  turut sama mempamerkan kenderaan bersempena dengan Temasya Warisan Pahang 2026 yang berlangsung mulai hari ini sehingga 7 September depan. 

Pasukan E-Motion bukan sekadar sebuah pasukan perlumbaan, tetapi merupakan wadah pembentukan bakat serba boleh menggabungkan kemahiran teknikal, kepimpinan, penyelesaian masalah, serta kerja berpasukan.

Sebagai sebuah universiti berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi, UMPSA sentiasa komited menyediakan platform terbaik untuk pelajar mengaplikasikan ilmu akademik secara praktikal dalam pembangunan kenderaan berprestasi tinggi.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri