Skip to main content

UMPSA Lancar Portal Study@UMPSA Perkasa Strategi Pemasaran Digital

Gambang, 17 April 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha pendigitalan perkhidmatan apabila melancarkan portal rasmi pemasaran akademik, Study@UMPSA, yang turut menampilkan ejen pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dikenali sebagai BURU.

Pelancaran “Study@UMPSA” dijangka menjadi pemangkin kepada usaha UMPSA dalam menarik lebih ramai pelajar berkualiti dan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang progresif serta bertaraf global.

Hadir melancarkan portal, Naib Canselor, Prof Dr Yatimah Alias. Turut sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa), Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman dan Ketua Pegawai Maklumat, Prof Ts Dr Hamdan Daniyal. 

Hadir sama, Pengarah Pusat Pemasaran & Kemasukan, Zainal Bahari dan Pengarah Kanan Perkhidmatan Akademik, Ernie Nurazlin Lizam. 

UMPSA Lancar Portal Study@UMPSA Perkasa Strategi Pemasaran Digital

Ujar beliau pendekatan baharu ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem pengantarabangsaan UMPSA, malah membuka peluang kepada pelajar untuk menikmati pengalaman pembelajaran rentas sempadan yang lebih inklusif dan berimpak tinggi.

“Portal ini dibangunkan sebagai pusat sehenti digital untuk menyampaikan maklumat secara berpusat mengenai program-program akademik UMPSA, termasuk laluan kemasukan perdana melalui UPU dan saluran alternatif seperti MUST Channel, asasi, pascasiswazah, pelajar antarabangsa dan lain-lain,” katanya.

Tambah beliau, portal ini direka bentuk mesra pengguna, responsif dan menyeluruh dalam memberikan akses maklumat kepada pelajar dan masyarakat umum. 

Malahan yang menarik perhatian ialah kehadiran BURU, pembantu maya berasaskan AI yang diilhamkan daripada simbol burung hantu – ikon kebijaksanaan dan kecelikan maklumat. BURU berperanan sebagai ejen digital yang membantu pengguna menavigasi maklumat dengan lebih mudah dan pantas, selaras dengan keperluan semasa generasi celik teknologi.

Prof Dr Yatimah turut mengumumkan penubuhan Student One Stop Centre (SOSC) di Kampus Gambang sebagai pusat perkhidmatan pelajar yang lebih menyeluruh, serta War Room Pemasaran UMPSA yang akan bertindak sebagai pusat koordinasi promosi universiti.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) serta UMPSA Advanced atas usaha gigih membangunkan portal ini yang merupakan sebahagian daripada anjakan Amanat Naib Canselor 2025 di bawah anjakan kelima – strategi pemasaran baharu.

Layari https://study.umpsa.edu.my untuk info lanjut pengajian UMPSA.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
Naqiah Puaad