UMPSA lancar Pusat Kitar Semula memperkukuh Agenda Kelestarian
PEKAN, 26 Ogos 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah merasmikan Pusat Kitar Semula sebagai langkah strategik untuk memperkukuh Agenda Kelestarian dan tanggungjawab social.
Majlis dirasmikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias.
Naib Canselor dalam ucapannya menekankan bahawa penubuhan pusat ini bukan sahaja untuk menyediakan kemudahan pengurusan sisa pepejal, malah menjadi manifestasi komitmen UMPSA terhadap amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 12 dan SDG 13).
“Pusat ini juga diharap berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan penyelidikan yang memacu inovasi dalam teknologi hijau dan ekonomi kitaran.
“Agenda kelestarian bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab bersama.
“Saya menyeru semua warga kampus agar menggunakan pusat ini dengan sebaiknya,” ujar beliau.

Katanya lagi, amalan ktiar semula perlu dijadikan ebahagian daripada gaya hidup seharian, dan seterusnya menyebarkan kesedaran ini kepada komuniti di luar universiti.
Manakala menurut Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian, Dr. Suhaidah Hussain dalam ucapannya, program kitar semula UMPSA pada tahun 2024 telah berjaya mengumpulkan sebanyak 29,503 kilogram sisa kitar semula termasuk aluminium, kaca, kertas dan plastik.
“Selain itu, program upcycling (juga dikenali sebagai 'daur ulang kreatif') adalah proses mengubah bahan terbuang atau produk yang tidak digunakan lagi menjadi produk baharu yang mempunyai nilai lebih tinggi, kualiti lebih baik, atau kegunaan berbeza daripada barangan asalnya, tanpa melibatkan proses penghancuran bahan ke peringkat asasnya juga sedang giat dijalankan.
“Aktiviti ini bertujuan untuk mengurangkan sisa, mengurangkan penggunaan sumber baharu, dan meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar, sambil memberi peluang kepada kreativiti dan Inovasi warga UMPSA dan masyarakat.
“Diharapkan dengan adanya pusat ini, kita akan terus mengorak langkah untuk mengurangkan jejak karbon, mengoptimumkan penggunaan sumber, dan mendidik generasi muda agar lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Naib Canselor turut melawat mesin pyrolyser yang berfungsi untuk menghasilkan sumber cecair tenaga baharu melalui proses pirolisis sisa plastik yang dihasilkan oleh pensyarah daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Profesor Madya Ts. Dr. Ruzinah Isha dari dan produk penyelidikan oleh Dr. Jun Haslinda Shariffuddin yang menghasilkan tanah kompos daripada sisa makanan terbuang.
Di samping itu jga, Jabatan Alam Sekitar dan Koya Clothing turut mengadakan pameran yang menghasilkan barangan upcycling iaitu banner terpakai kepada beg dan barang cenderamata.
Sementara itu, menurut Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Pusat Teknologi Digital, Wahyu Hidayat Lizam mengakui kewujudan Pusat Kitar Semula di UMPSA sememangnya memberikan kemudahan kepada staf.
“Kadangkala kita dah kumpulkan barang-barang yang tidak lagi digunakan, tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk membuangnya,” ujarnya yang menghantar beberapa barang e-waste di Pusat Kitar Semula UMPSA Pekan.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Ketua Pustakawan, Kamariah Gono, dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta, Ts. Izwan Ismail.
Rakan strategik yang turut hadir terdiri daripada Penolong Pengarah SWCorp Pahang, Ashraff Kaharudin, Penolong Pegawai, Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang, Nafisah Harun, CEO, Koya Clothing, Mohd Fuad Asri dan Penolong Pengurus, RA Maju Enterprise, Muhammad Zafril Rully Abd Rahim.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian
- 53 views