UMPSA memperkukuh mobiliti kampus dengan buggy elektrik 14 penumpang
PEKAN, 12 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus komited dalam menyediakan persekitaran kampus yang kondusif, lestari dan mesra pengguna menerusi penggunaan sebuah buggy elektrik baharu berkapasiti 14 penumpang bagi kegunaan warga universiti dan pelawat di kampus Pekan.
Buggy elektrik tersebut dibekalkan dengan pelbagai ciri moden dan mesra alam, antaranya dilengkapi bateri bebas penyelenggaraan 6V x 12 unit, motor berkuasa 72V/7.5kW, pengecas pintar berkomputer (Computer Intelligent Onboard Charger) serta mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 30 kilometer sejam.
Selain itu, kenderaan ini mempunyai keupayaan mendaki sehingga 20 peratus kecerunan, kapasiti beban maksimum 2,420kilogram dan dilengkapi pelbagai ciri keselamatan seperti lampu hadapan LED, lampu isyarat kiri dan kanan, hon, cermin sisi, cermin pandang belakang, penggera undur, bumbung pelindung serta cermin hadapan boleh lipat.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, penggunaan buggy elektrik tersebut merupakan salah satu usaha universiti dalam meningkatkan kemudahan mobiliti dalaman kampus selain menyokong agenda kelestarian universiti.
“UMPSA sentiasa berusaha menyediakan kemudahan terbaik kepada warga kampus dan para pelawat.
“Penggunaan buggy elektrik ini bukan sahaja memudahkan pergerakan pelajar, staf dan tetamu universiti, malah selari dengan aspirasi universiti untuk mengurangkan pelepasan karbon serta menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam operasi harian kampus.
“Buggy elektrik itu akan digunakan bagi membantu pergerakan warga kampus ke lokasi-lokasi strategik seperti fakulti, pusat pentadbiran, dewan, kolej kediaman dan program rasmi universiti,” ujarnya.
Selain menyokong urusan harian kampus, buggy elektrik tersebut turut memainkan peranan penting dalam memudahkan pergerakan pelajar ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah serta membantu membawa pelajar lelaki menunaikan solat Jumaat, khususnya bagi mereka yang mempunyai kekangan pergerakan atau berada di lokasi yang jauh dari masjid.
Kemudahan ini dijangka dapat menggalakkan penglibatan warga kampus dalam aktiviti keagamaan dan mewujudkan suasana kampus yang lebih inklusif serta prihatin.
Di samping itu, kemudahan tersebut turut dimanfaatkan semasa menerima lawatan rasmi daripada agensi kerajaan, institusi pendidikan, industri, rakan strategik serta delegasi dari dalam dan luar negara.
Penggunaan buggy elektrik membolehkan para tetamu dibawa melawat sekitar kampus dengan lebih selesa, selamat dan teratur, khususnya bagi lawatan yang melibatkan kawasan kampus yang luas.
Antara kelebihan utama penggunaan buggy elektrik ialah operasi yang lebih senyap, kos penyelenggaraan yang rendah berbanding kenderaan konvensional, penggunaan tenaga yang lebih cekap serta tidak menghasilkan pelepasan asap yang boleh mencemarkan alam sekitar.
Di samping itu juga, buggy ini dapat meningkatkan imej profesional universiti dalam menguruskan lawatan rasmi, urusan protokol dan penyampaian perkhidmatan kepada warga kampus.
Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh Agenda Kampus Lestari dan meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kesejahteraan warga universiti sejajar dengan matlamat pembangunan mampan yang menjadi keutamaan institusi.
Dengan adanya buggy elektrik baharu ini, universiti yakin pengalaman mobiliti dalam kampus akan menjadi lebih efisien, selesa dan mesra alam demi manfaat seluruh warga universiti, pelawat serta rakan-rakan strategik yang berkunjung ke UMPSA.
Selain itu kemudahan motosikal elektrik turut disediakan bagi menyokong operasi pengurusan sisa dan program kitar semula di kampus.
Motosikal elektrik tersebut dimanfaatkan untuk mengangkut bahan-bahan kitar semula seperti kertas, plastik, aluminium dan barangan terpakai dari lokasi pengumpulan ke pusat kitar semula universiti dengan lebih cepat, cekap dan mesra alam.
Penggunaan motosikal elektrik ini bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan berasaskan bahan api fosil, malah dapat mengurangkan pelepasan karbon, kos operasi dan pencemaran bunyi di dalam kampus.
Dalam usaha memperkukuh aspek kelestarian sosial dan kesejahteraan komuniti kampus, UMPSA turut menyediakan kemudahan Nursing Room atau Bilik Penyusuan yang selesa, selamat dan mesra pengguna di Canseleri Tun Abdul Razak Pekan.
Kemudahan ini diwujudkan bagi menyokong keperluan ibu yang menyusukan anak dan menyediakan ruang yang lebih kondusif kepada warga kampus serta pelawat yang memerlukan.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian
- 82 views
Reports by: