UMPSA pacu Agenda Pemerkasaan Mahasiswa
GAMBANG, 15 Oktober 2023 - Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin hadir merasmikan Hari Terbuka dan Expo Konvokesyan 2023 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang baru-baru ini.
Penganjuran program itu berjaya memacu agenda memperkasakan mahasiswa apabila pelajar mampu berdikari dan bergerak sendiri dengan penyeliaan atau sokongan paling minimum sepanjang program.
Dalam program itu menyaksikan lebih 80 persatuan pelajar dan residen pelajar mempamerkan aktiviti masing-masing.
Beliau turut hadir menjayakan Forum Bicara Madani: Mahasiswa Tonggak Negara Madani yang dikendalikan bersama pemimpin pelajar, Agha Khilfi Suarno, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA sebagai moderator.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Pengarah Expo Konvokesyan 2023, Arshada Nadia Abdullah.
Menurut Dato’ Seri Mohamed Khaled, agenda pemerkasaan mahasiswa yang sedang direalisasikan oleh KPT bukanlah hanya memfokuskan kepada pindaan undang-undang bagi menjalankan pilihan raya memilih wakil pelajar sahaja, malah ia turut melibatkan pemberian autonomi kepada mereka untuk menjana pendapatan serta menguruskan aktiviti-aktiviti bermanfaat untuk rakan-rakan yang lain.
“Agenda ini turut merangkumi usaha meningkatkan kualiti dan mutu, jalinan kerjasama dengan industri, keselamatan dan kesejahteraan di kampus serta kebolehpasaran graduan dalam mengupayakan para mahasiswa mengukuh kematangan serta kedewasaan masing-masing,” ujarnya di hadapan 2,000 pelajar yang hadir.
Beliau turut menggesa pelajar UMPSA untuk mendokong enam prinsip yang membentuk Malaysia MADANI agar masyarakat dapat bangkit semula dan seterusnya mampu menjadi sebuah negara yang matang, negara yang masyarakatnya sarat dengan nilai-nilai unggul serta dicirikan dengan kesejahteraan yang merentasi segala latar belakang dan perbezaan.
Dalam pada itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, program ini memfokuskan terhadap pembangunan pelajar secara holistik, sekali gus menjadi konsep penting dan mandat besar kepada setiap universiti 'mengupayakan' pelajar dalam pengurusan persatuan.
“Selain itu, penganjuran aktiviti ini membolehkan mereka mengasah idea dan kreativiti,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, sokongan berterusan sentiasa ditawarkan pihak universiti terutamanya Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) bagi memastikan mereka tetap berpegang kepada adab dan acuan ke arah menyumbang pembangunan bangsa dan negara.
UMPSA menerusi Akademi Adab juga telah memperkenalkan konsep pembangunan citra dan jati diri mahasiswa yang dinamakan Model Pembangunan A.D.A.B. (Attitude, Dynamic, Agile dan Balance) bersesuaian dengan keperluan semasa bagi melahirkan insan yang berakhlak yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Selain itu, universiti juga sentiasa bertindak sebagai ejen perubahan untuk membolehkan potensi mahasiswa digembleng dan diperkasa seperti menyokong mereka merancang melaksanakan program berimpak tinggi sesuai situasi semasa dan komuniti setempat serta selari aspirasi pihak KPT dan matlamat universiti.
Turut berlangsung pelancaran MySiswa yang merupakan program keusahawanan hasil inisiatif KPT bagi menyediakan ekosistem yang membantu pelajar dalam kehidupan harian dengan mendapatkan barangan dan juga perkhidmatan yang lebih jimat.
Aktiviti lain yang diadakan ialah penyerahan surat tawaran dermasiswa SULUNG 2.0 dan Pelancaran Tabung Solidariti Palestin UMPSA hasil sumbangan RM30,000 daripada pihak UMP Advanced, Yayasan UMP dan UMP Holdings (UMPH).
Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 81 views