Skip to main content

UMPSA pamer ResQ Solar Emergency Power Station di Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025

JERANTUT, 13 Oktober 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengukuhkan peranannya sebagai institusi yang menyokong usaha inovatif tenaga hijau dengan memperkenalkan ResQ Solar Emergency Power Station sempena Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2025 yang diadakan di Padang FA Jerantut, Pahang.

Produk inovasi ini merupakan hasil ciptaan melibatkan Jurutera Kanan, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Ts. Haji Mohd Nurakla  Mohd Azlan, Profesor dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Madya Ts.Dr. Amir Abdul Razak serta pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Madya Dr. Abdul Syukor  Abd Razak.

UMPSA pamer ResQ Solar Emergency Power Station di Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025

Inisiatif teknologi solar ini disediakan khas bagi keperluan segera agar ia menjadi sistem mudah alih, boleh digunakan serta-merta tanpa pemasangan rumit dan menjadikan ia pilihan ideal untuk kegunaan pihak berkuasa kecemasan, pasukan penyelamat dan komuniti di kawasan berisiko bencana.

Menurut Ts. Haji Mohd Nurakla, ResQ Solar Emergency Power Station merupakan satu peranti bekalan elektrik alternatif yang berasaskan tenaga solar, direka untuk menggantikan generator konvensional terutamanya dalam situasi kecemasan atau gangguan bekalan elektrik.

“Dengan teknologi plug-and-play, sistem hibrid solar-bateri dan kawalan pintar, peranti ini membolehkan pelbagai peralatan penting termasuk pencahayaan LED dan alat perubatan asas bagi mendapat bekalan tenaga dengan cepat dan selamat,” ujarnya.

Selain itu, reka bentuk tahan lasak dan operasi tanpa bunyi serta pelepasan karbon menjadikan inovasi UMPSA ini bukan sekadar responsif kepada krisis, tetapi juga menyokong agenda kelestarian nasional melalui ESG dan SDG.
UMPSA turut berperanan dalam memastikan amalan kelestarian diterapkan dengan pelbagai projek tenaga hijau seperti solar terapung dan pemasangan solar di bunbung universiti.

Pameran ini menjadi sebahagian daripada inisiatif Bulan Kesiapsiagaan Nasional bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai peri pentingnya kesiapsiagaan bencana dan peranan teknologi hijau dalam memperkukuh tindak balas semasa kecemasan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang BKN 2025 termasuklah pameran aset logistik dan jentera pengurusan bencana.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri