UMPSA perintis IOC, perkukuh ekosistem digital dan inovasi kampus
PEKAN, 6 Mei 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh Agenda Transformasi Digital apabila menganjurkan Hari Digital UMPSA X MAPITA 2026 bersempena dengan Mesyuarat Majlis Pengarah-pengarah ICT IPTA yang berlangsung di Dewan Cendekia Siswa UMPSA Pekan.
Hadir merasmikan program Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang menzahirkan komitmen universiti dalam memperkasa budaya digital serta menyokong aspirasi ke arah kampus pintar.
Menurut beliau, penganjuran hari digital ini bukan sekadar platform pameran teknologi, malah menjadi manifestasi kesungguhan universiti dalam membangunkan ekosistem digital yang menyeluruh meliputi infrastruktur, integrasi data dan keselamatan siber.

“Transformasi digital kini menjadi nadi kecemerlangan universiti dan ia perlu diperkukuhkan melalui penggunaan teknologi moden serta pengurusan data yang cekap dan selamat.
“UMPSA turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan kampus melalui pelaksanaan inisiatif ‘smart surveillance’ termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) secara berperingkat di seluruh kampus,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.
Selain itu, universiti juga telah membangunkan Intelligent Operation Centre (IOC) di UMPSA Pekan sebagai pusat kawalan bersepadu yang menggabungkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan analitik data masa nyata bagi meningkatkan kecekapan pengurusan operasi kampus.
Ujar beliau, IOC ini berfungsi sebagai pusat kawalan bersepadu yang menghimpunkan pelbagai sistem operasi kampus dalam satu platform digital pintar yang menggabungkan teknologi AI, IoT dan analitik data masa nyata bagi membolehkan pemantauan dan pengurusan dilakukan secara lebih proaktif, tepat serta berasaskan data.
“Melalui IOC, pelbagai aspek operasi seperti keselamatan kampus, penggunaan tenaga, pengurusan fasiliti, trafik dalaman dan pemantauan persekitaran dapat diselaraskan secara berpusat.
“Selain itu, keupayaan IOC ini turut diperkukuh dengan penggunaan sensor pintar dan rangkaian IoT yang dipasang di seluruh kampus.
“Data yang dikumpulkan akan dianalisis secara masa nyata bagi membolehkan pihak pengurusan membuat keputusan segera, termasuk dalam situasi kecemasan,” ujarnya.
Dalam pada itu, UMPSA turut melakar pencapaian membanggakan apabila diiktiraf sebagai universiti awam (UA) pertama di Malaysia menerima Pensijilan Pusat Data Hijau pada tahap Titanium Plus Tier, sekali gus membuktikan komitmen terhadap amalan teknologi lestari.
Penganjuran program ini juga selari dengan Agenda Mydigital@UMPSA di bawah Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 yang bertujuan memperkukuh pemodenan teknologi universiti melalui ekosistem digital yang bersepadu dan pintar.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program termasuk forum teknologi melibatkan pakar industri, pameran teknologi digital dan kenderaan elektrik (EV), kejohanan e-sukan serta program derma darah yang mendapat sambutan menggalakkan.
Program ini turut menghimpunkan pengarah ICT UA, wakil agensi kerajaan, industri dan rakan strategik dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama serta perkongsian kepakaran dalam bidang teknologi digital.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
- 18 views