Skip to main content
UMPSA perkasa pemindahan ilmu melalui program Eksplorasi Lingua Komuniti (ELK) Tioman 2026

UMPSA perkasa pemindahan ilmu melalui program Eksplorasi Lingua Komuniti (ELK) Tioman 2026

TIOMAN, 8 Oktober 2026 – Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranan universiti dalam khidmat komuniti dan pemindahan ilmu melalui penganjuran Program Eksplorasi Lingua Komuniti (ELK) Tioman 2026 yang mengintegrasikan pendidikan bahasa, teknologi digital dan kelestarian alam sekitar.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Juara, Tioman Development Authority (TDA), Reef Check Malaysia serta komuniti setempat sebagai platform perkongsian kepakaran universiti yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

ELK Tioman 2026 merangkumi tiga aktiviti utama, iaitu Pitch Craft Camp bersama murid SK Juara, Get Creative with iPad untuk guru serta aktiviti pemeliharaan alam sekitar melalui Program Pembersihan Pantai di Marina Bay dengan kerjasama Reef Check Malaysia.

UMPSA perkasa pemindahan ilmu melalui program Eksplorasi Lingua Komuniti (ELK) Tioman 2026

Menerusi Pitch Craft Camp, seramai 30 orang murid dari SK Juara mengikuti aktiviti pembelajaran interaktif yang menekankan pemantapan bahasa Inggeris, kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan pengembangan idea. 

Pendekatan ini turut memberi ruang kepada murid untuk membina keyakinan dalam menyampaikan idea serta meneroka penyelesaian kreatif terhadap permasalahan di sekeliling mereka melalui pendekatan STEM.

Sementara itu, Get Creative with iPad memberi pendedahan praktikal kepada guru SK Juara tentang penggunaan teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP). 

Sesi perkongsian ilmu ini dikendalikan oleh Apple Certified Instructor UMPSA, Dr. Azwin Ariff Abdul Rahim, yang membimbing guru meneroka penggunaan iPad dan aplikasi digital bagi menghasilkan bahan serta aktiviti PdP yang lebih kreatif, interaktif dan berpusatkan pelajar.

Guru Besar SK Juara, Hasmadi Ilham Abdul Majid, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada UMPSA atas penganjuran program yang memberikan pengalaman pembelajaran baharu kepada guru dan murid.

UMPSA perkasa pemindahan ilmu melalui program Eksplorasi Lingua Komuniti (ELK) Tioman 2026

Beliau menyifatkan sesi perkongsian teknologi digital sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan kerana memberi peluang kepada guru mempelajari perkara baharu melalui penggunaan iPad dalam pengajaran dan pembelajaran. 

Pada masa yang sama, aktiviti yang dijalankan turut membantu murid memperkukuh kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris (speaking skills) serta meningkatkan keyakinan untuk berkomunikasi.

Beliau berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membuka lebih banyak peluang kepada warga sekolah untuk meneroka pendekatan pembelajaran yang kreatif, interaktif dan bersesuaian dengan keperluan pendidikan semasa.

Dalam usaha menyokong kelestarian alam sekitar, program ini turut mengadakan aktiviti pembersihan pantai di Marina Bay dengan kerjasama Reef Check Malaysia. 

Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran peserta terhadap kepentingan menjaga kebersihan pantai, memelihara ekosistem marin dan menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam usaha melindungi alam sekitar.

Penganjuran ELK Tioman 2026 mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperluas pemindahan ilmu melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, kolaborasi strategik dan penglibatan komuniti. 

Program ini juga membuka ruang kepada warga universiti untuk berkongsi kepakaran dalam bidang bahasa dan teknologi pendidikan, di samping memupuk nilai tanggungjawab sosial serta kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

Secara keseluruhannya, program ini diharapkan dapat memperkasakan potensi murid, meningkatkan kompetensi digital guru dan mengukuhkan hubungan antara universiti dengan institusi pendidikan serta komuniti setempat, selaras dengan peranan UMPSA sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited terhadap pembangunan masyarakat secara mampan.

Disediakan Oleh: Azimah Ahmad Zaki, Noraisah Nurul Fatwa Mohd Razali, Hanisah Bon (KASBON) dan Mohammad Baihaqi Hasni, Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri