UMPSA perkukuh agenda wakaf lantik Jawatankuasa Wakaf Tunai
PEKAN, 20 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mempergiat agenda pembangunan wakaf universiti dengan pelantikan 12 ahli jawatankuasa baharu.
Surat lantikan diserahkan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang juga merupakan Pengerusi Wakaf Tunai UMPSA dalam Majlis Penyerahan Surat Lantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Wakaf Tunai UMPSA yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Pekan baru-baru ini.
Mereka yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Wakaf Tunai UMPSA akan berperanan dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan inisiatif wakaf universiti secara lebih sistematik, mampan dan berimpak tinggi.
Penubuhan jawatankuasa ini merupakan sebahagian daripada usaha universiti untuk mewujudkan sebuah ekosistem wakaf yang mampu menjadi instrumen penjanaan pendapatan alternatif dan memperkukuh kebajikan warga kampus dan pembangunan institusi secara berterusan.
Dalam pada itu, jawatankuasa ini akan ditadbir urus oleh Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA).
Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang dilantik atas kesediaan mereka memikul amanah bagi menjayakan agenda wakaf universiti.
“Wakaf merupakan instrumen pembangunan ummah yang bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian kewangan institusi, malah berupaya memperluaskan akses pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.
“Wakaf bukan sekadar satu bentuk sumbangan, malah merupakan pelaburan berterusan yang memberi manfaat jangka panjang kepada ummah.
"Justeru, saya berharap ahli jawatankuasa yang dilantik dapat memainkan peranan secara proaktif dalam merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang mampu memperluaskan impak Wakaf Tunai UMPSA,” ujarnya.
Katanya lagi, komitmen dan kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pengurusan wakaf universiti dilaksanakan secara sistematik, telus dan berintegriti, selaras dengan aspirasi UMPSA untuk membudayakan amalan wakaf sebagai pemangkin pembangunan pendidikan dan kesejahteraan masyarakat.
“Wakaf Tunai UMPSA akan berfungsi sebagai platform yang menghimpunkan sumbangan daripada warga universiti, alumni, industri dan masyarakat umum untuk disalurkan kepada pelbagai inisiatif pembangunan universiti serta program kebajikan yang memberi manfaat kepada pelajar dan staf yang memerlukan.
“Melalui pendekatan tersebut, dana wakaf yang terkumpul akan diuruskan secara patuh syariah dengan prinsip mengekalkan nilai dana pokok dan mengagihkan manfaat hasil pelaburan kepada golongan sasaran, sekali gus memastikan impak yang berterusan kepada penerima manfaat,” ujar beliau.
Turut berlangsung mesyuarat yang membincangkan hala tuju, fungsi dan tanggungjawab ahli jawatankuasa dalam memperkasakan pelaksanaan Wakaf Tunai UMPSA.
Perbincangan turut menyentuh perancangan pembangunan dasar tadbir urus, pengurusan dana, kerjasama strategik dengan agensi berkaitan dan usaha pendigitalan melalui pembangunan platform Wakaf@UMPSA bagi memudahkan urusan sumbangan secara dalam talian.
Selain itu, jawatankuasa turut meneliti pelbagai mekanisme untuk memperluas penyertaan warga universiti dalam amalan berwakaf, termasuk melalui kaedah potongan gaji secara sukarela yang dijangka dapat membantu meningkatkan kutipan dana wakaf universiti pada masa hadapan.
Pelantikan Ahli Jawatankuasa Wakaf Tunai UMPSA ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam membangunkan ekosistem filantropi yang mampan dan berdaya saing, selaras dengan hasrat UMPSA untuk menjadi institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan penyelidikan, malah turut menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi ummah melalui pengurusan wakaf yang profesional dan berintegriti.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 21 views
Reports by: