UMPSA rai jasa mantan Ahli LPU dalam Majlis Sanjungan Budi
KUANTAN, 26 September 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menghargai jasa dan sumbangan mantan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) yang mewakili Kementerian Kewangan Malaysia, Mohd Azman Ismail, menerusi penganjuran Majlis Sanjungan Budi yang berlangsung dalam suasana penuh penghargaan dan kekeluargaan.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghormatan atas komitmen dan khidmat bakti beliau sepanjang menganggotai Lembaga Pengarah Universiti dalam memperkukuh tadbir urus dan pembangunan strategik universiti.
Hadir menyempurnakan majlis ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Sri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) iaitu YH Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Profesor Ir. Dr. Mohd Faizal Jamlos dan Agha Khilfi Suarno, Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Abdul Razak merakamkan penghargaan atas sumbangan dan pandangan bernas yang telah diberikan oleh Mohd Azman sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai wakil Kementerian Kewangan Malaysia dalam LPU UMPSA.
Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias turut menzahirkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama erat yang telah diberikan oleh Encik Mohd Azman sepanjang tempoh beliau berkhidmat bersama universiti.
Menurutnya, sumbangan yang dicurahkan bukan sahaja membantu memperkukuh aspek tadbir urus universiti, malah turut menyokong usaha UMPSA dalam mencapai aspirasi kecemerlangan pendidikan tinggi dan pembangunan institusi yang mampan.
“Pihak universiti amat menghargai segala jasa dan komitmen beliau sepanjang bersama UMPSA.
“Semoga hubungan baik yang terjalin akan terus berkekalan dan menjadi jambatan kepada kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Azman menghargai sokongan barisan LPU dan pengurusan universiti serta mendoakan UMPSA akan terus cemerlang pada masa akan datang.

Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada Mohd Azman Ismail atas segala jasa dan sumbangan beliau kepada universiti.
Penganjuran majlis ini mencerminkan penghargaan tinggi UMPSA terhadap individu yang telah menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan universiti, selaras dengan aspirasi untuk terus mengangkat kecemerlangan institusi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 22 views
Reports by: