Skip to main content

UMPSA raih 4.5 bintang penilaian kualiti data MyMoHES

PEKAN, 14 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih penarafan 4.5 bintang dengan markah keseluruhan 99.8832 peratus dalam Penilaian Kualiti Data MyMoHES bagi status Cut-off Date (COD) 30 Jun 2026.

Pencapaian tersebut diumumkan dalam Mesyuarat Kualiti Data Bil. 2/2026 yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 12 Ogos 2026.

Penilaian Kualiti Data MyMoHES melibatkan empat modul utama yang merangkumi data pelajar, staf, penyelidikan serta maklumat institusi, dengan penilaian berdasarkan aspek kesempurnaan data, kualiti data dan ketepatan masa penghantaran.

UMPSA raih 4.5 bintang penilaian kualiti data MyMoHES

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan pengurusan data dilaksanakan secara sistematik, tepat dan berkualiti sebagai asas kepada tadbir urus institusi yang berkesan.

“Pencapaian ini bukan sekadar angka atau penarafan, tetapi mencerminkan tahap komitmen dan disiplin seluruh warga UMPSA dalam menguruskan data universiti dengan teliti, tepat dan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Data yang berkualiti merupakan aset strategik universiti kerana ia menjadi asas penting dalam proses perancangan, pemantauan prestasi, pembuatan keputusan serta pelaporan kepada pihak berkepentingan. 

“Justeru, budaya pengurusan data yang tepat dan berintegriti perlu terus diperkukuh di semua peringkat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pemilik data, penyelaras data dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan penyediaan serta penghantaran data MyMoHES UMPSA dilaksanakan dengan lancar.

“Terima kasih dan tahniah kepada semua yang telah memberikan komitmen dalam memastikan data yang dikemukakan memenuhi keperluan kualiti yang ditetapkan. 

“Pencapaian ini adalah hasil kerja berpasukan dan kesungguhan warga UMPSA dalam melaksanakan amanah masing-masing.

“Pada masa yang sama, saya berharap pencapaian ini menjadi pemangkin untuk kita terus memperkukuh pengurusan data universiti, selaras dengan aspirasi UMPSA untuk meningkatkan kecekapan tadbir urus serta membuat keputusan berasaskan data,” tambah beliau.

Penarafan 4.5 bintang dengan markah 99.8832 peratus ini turut memperlihatkan kesungguhan UMPSA dalam memastikan data institusi sentiasa lengkap, berkualiti dan dihantar dalam tempoh yang ditetapkan.

Pencapaian tersebut wajar diberi penghargaan kepada seluruh pemilik dan penyelaras data UMPSA yang telah memainkan peranan penting dalam proses pengumpulan, semakan, pengemaskinian dan pengesahan data sebelum dikemukakan melalui sistem MyMoHES.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga UMPSA atas kejayaan ini yang mencerminkan kekuatan kerjasama serta komitmen bersama dalam memperkukuh tadbir urus dan pengurusan data universiti.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri