UMPSA, Rejimen 505 Askar Wataniah perkukuh kerjasama pembangunan bakat dan kepimpinan
PEKAN, 11 Ogos 2026 – Hubungan strategik antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Rejimen 505 Askar Wataniah terus diperkukuh menerusi kunjungan hormat delegasi Rejimen 505 Askar Wataniah ke UMPSA Pekan.
Kunjungan delegasi Rejimen 505 Askar Wataniah diketuai oleh Timbalan Komander Rejimen 505 Askar Wataniah, Lt. Kol. Mohd Hasry Bohari bersama Ketua Cawangan Tadbir, Mej. Nik Abd Aziz Nik Mat; Penolong Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah, Mej. Saidi Mokhtar.
Turut sama Ketua Kompeni Alpha Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah, Mej. Ts. Hazami Hussin dan Ketua Kompeni Alpha Batalion Keempat Rejimen 505 Askar Wataniah, Mej. Dr. Haji Imaduddin Abidin.
Delegasi berkesempatan mengadakan pertemuan bersama Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bagi membincangkan ruang kerjasama yang berpotensi memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, khususnya dalam pembangunan bakat, pendidikan, latihan, kepimpinan dan kesukarelawanan.

Menurut Prof. Ts. Dr. Yatimah, kerjasama bersama Rejimen 505 Askar Wataniah mempunyai nilai strategik dalam memperkukuh pembangunan modal insan UMPSA, khususnya melalui pendedahan kepada aspek disiplin, kepimpinan, ketahanan diri dan kerja berpasukan.
“Universiti melihat kerjasama ini sebagai satu platform yang dapat melengkapkan pembangunan warga UMPSA bukan sahaja dari aspek akademik dan profesional, tetapi turut dari sudut kepimpinan, disiplin, ketahanan diri serta semangat kesukarelawanan.
“Pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Rejimen 505 Askar Wataniah boleh dikongsikan bersama warga universiti, manakala UMPSA pula mempunyai kepakaran akademik, program pengajian serta kemudahan yang boleh dimanfaatkan secara bersama,” katanya.
Antara fokus utama perbincangan adalah usaha memperkasakan penglibatan warga UMPSA dalam Askar Wataniah sebagai salah satu platform pembentukan sahsiah, disiplin, kepimpinan dan kompetensi.
Sehubungan itu, satu sesi taklimat dan promosi kepada staf UMPSA akan dicadangkan bagi memberikan pendedahan yang lebih jelas mengenai peluang menyertai pasukan sukarela tersebut.
Menurutnya lagi, penglibatan staf universiti dalam askar wataniah juga berpotensi membentuk barisan pelapis yang mempunyai nilai kepimpinan dan kesukarelawanan yang tinggi.
“Kita mahu melihat lebih ramai warga UMPSA mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dapat membina kepimpinan dan ketahanan diri.
“Penglibatan dalam askar wataniah bukan sahaja memberi pengalaman baharu, malah dapat membentuk individu yang lebih berdisiplin, cekap bekerja dalam pasukan dan bersedia memikul tanggungjawab,” katanya.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, satu gerak kerja pengambilan yang lebih tersusun akan dirangka melalui kerjasama jabatan dan pihak berkaitan di universiti.
Dalam masa yang sama, kedua-dua pihak turut melihat potensi kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan, khususnya peluang kepada warga Rejimen 505 Askar Wataniah untuk mengikuti program pengajian serta latihan kompetensi yang ditawarkan oleh UMPSA.
Kepakaran Rejimen 505 Askar Wataniah pula berpotensi dimanfaatkan dalam pelaksanaan kursus pembangunan kepimpinan warga UMPSA melalui pendedahan kepada aspek disiplin ketenteraan, kepimpinan, kerja berpasukan, ketahanan diri dan pembentukan jati diri.
Perbincangan turut merangkumi potensi penggunaan kemudahan dan fasiliti UMPSA bagi menyokong pelaksanaan program serta aktiviti askar wataniah.
Antara kemudahan yang dikenal pasti berpotensi dimanfaatkan termasuk ruang latihan, bilik kuliah, kolam renang serta kemudahan pengangkutan universiti.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak Rejimen 505 Askar Wataniah turut memaklumkan mengenai pelaksanaan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 2/2026 yang akan melibatkan pelajar program diploma UMPSA yang menganggotai askar wataniah.
Kursus tersebut dijadualkan berlangsung dari 17 Ogos hingga 15 September 2026, sekali gus menjadi antara platform penting dalam membentuk mahasiswa yang mempunyai disiplin, semangat kesukarelawanan dan jati diri yang tinggi.
Kunjungan ini juga mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperluas jaringan kerjasama yang bukan sahaja memberi manfaat dari aspek pembangunan organisasi, malah menyokong usaha melahirkan warga universiti yang kompeten, berdaya kepimpinan, berdisiplin dan mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)
- 2 views
Reports by: