UMPSA santuni media dan rakan kolaborasi dalam Majlis Iftar ‘Indahnya Ramadan’
KUANTAN, 5 Mac 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh hubungan strategik bersama pengamal media dan rakan kolaborasi menerusi penganjuran Majlis Iftar UMPSA Bersama Media dan Rakan Kolaborasi bertemakan ‘Indahnya Ramadan’ yang berlangsung di Swiss-Bel Hotel, Kuantan.
Majlis dengan semangat Ramadan al-Mubarak itu berjaya menghimpunkan lebih 60 pengamal media daripada agensi media cetak, televisyen, radio, portal berita dalam talian dan agensi kreatif serta digital di negeri ini.
Hadir dalam majlis ialah Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.
Hadir sama Pengerusi Pahang Press merangkap wakil Media Prima, Fazli Ahmad dan Pengarah RTM Pahang, Ts. Khairuddin Haji Osman.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, bersama barisan pengurusan tertinggi universiti serta wakil media dan rakan kolaborasi strategik.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, program tahunan ini menjadi platform penghargaan universiti terhadap peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan pencapaian dan perkembangan UMPSA kepada masyarakat.

“Hubungan erat antara UMPSA dan pihak media amat penting dalam memastikan penyampaian maklumat universiti dapat dilaksanakan secara tepat dan berimpak kepada masyarakat.
“Media merupakan rakan strategik universiti dalam mengetengahkan kejayaan, kepakaran dan sumbangan UMPSA kepada pembangunan negara serta komuniti.
“Program pada hari ini juga mencerminkan semangat kebersamaan dan nilai ukhuwah bersempena dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan,” ujarnya.
Penganjuran program Indahnya Ramadan ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam menghargai jaringan kolaborasi sedia ada selain memperkukuh sinergi strategik antara universiti, media dan industri demi kelestarian kecemerlangan institusi.
Majlis turut diserikan dengan pelancaran drama raya terbitan Pusat Komunikasi Korporat (PKK) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UMPSA bertajuk 'Kelip-kelip Raya' yang akan disiarkan di Youtube UMPSA TV.

Para tetamu turut berpeluang mengikuti tazkirah ramadan yang disampaikan oleh Pengarah, Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham.
Dalam majlis yang sama, turut berlangsung sesi sidang media yang menyaksikan Profesor Ts. Dr. Yatimah berkongsi perkembangan semasa universiti termasuk pencapaian terkini.
Lain-lain hala tuju strategik universiti dan inisiatif pemerkasaan akademik, penyelidikan dan kebolehpasaran graduan selaras dengan aspirasi transformasi UMPSA sebagai universiti teknologi terunggul.
Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil & Mohammad Iqbal Ramly, Pusat Komunikasi Korporat
- 18 views