UMPSA santuni pelajar ijazah dual UMPSA-BJTU yang sedang mengikuti latihan industri di Liuzhou Railway Technical and Vocational College, China
LIUZHOU, CHINA, 11 Jun 2025 - Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang kini sedang mengikuti program Ijazah Dual UMPSA - Beijing Jiaotong University (BJTU) teruja apabila berpeluang bertemu dengan wakil pengurusan baru-baru ini di Liuzhou, China.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UMPSA, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman hadir dalam sesi bersama para pelajar yang sedang menjalani Latihan Industri di Liuzhou Railway Technical and Vocational College (LRVTC), China.
Pada masa ini, seramai 25 orang pelajar kohort kedua program Ijazah Dual UMPSA–BJTU dalam bidang Kejuruteraan Rel terdiri daripada Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Awam sedang menjalani Latihan Industri di sana selama sepuluh minggu bermula pada 21 Mei yang lalu.
Menurut Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, kesempatan ini memberi peluang pihak UMPSA untuk melihat sendiri aktiviti dan rutin yang dilakukan oleh pelajar dalam mengendalikan peralatan yang berteknologi tinggi di lapangan dan makmal-makmal LRVTC,” ujarnya.
Di samping itu juga, beliau turut meninjau aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh pelajar tersebut dan memberikan kata-kata semangat supaya pelajar memanfaatkan peluang dan pengalaman sepanjang menjalani Latihan Industri LRVTC ini.
Malah, pada masa yang sama juga, beliau turut bertukar-tukar pandangan dan berkongsi mengenai perkembangan universiti bersama para pelajar.
Sesi pertemuan bersama pelajar itu diadakan sempena lawatan rasmi beliau ke China bagi mengikuti program AMG-NEXTGEN: Mobility Programme To Liuzhou Railway Technical and Vocational College, China 2025 – ‘Shaping Global Leaders Through Academic Excellence’ yang merupakan kerjasama antara Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan UMPSA.
Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad yang merupakan Pengurus Akademi Menara Gading (AMG) mengetuai delegasi tersebut yang melibatkan seramai 30 orang pelajar terbaik AMG bersama 13 orang Pengetua Sekolah.
Delegasi telah mengadakan lawatan ke LRVTC sebagai pendedahan kepada teknologi termaju dalam bidang rel, kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI).
Program ini menyasarkan untuk memperkasakan pelajar dengan ilmu serta pengalaman global dalam bidang Sains dan Kejuruteraan yang semakin berkembang pesat.
Disediakan Oleh: Abd Razak Ja’afar, Jabatan Hal Ehwal Akademik Dan Antarabangsa (JHEAA)
- 190 views