Skip to main content

UMPSA, SCAVC perluas kerjasama akademik, buka laluan pelajar ke peringkat antarabangsa

CHENGDU, CHINA, 15 September 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama UMPSA Advanced terus memperkukuh kerjasama akademik dengan Sichuan Aerospace Vocational College (SCAVC) menerusi penerokaan pelbagai inisiatif baharu yang berupaya memperluas laluan pendidikan dan pembangunan kompetensi pelajar di peringkat antarabangsa.

Kerjasama itu diberi perhatian menerusi lawatan rasmi delegasi UMPSA dan UMPSA Advanced ke SCAVC di Chengdu yang turut menjadi platform untuk menilai pencapaian program pendidikan kerjasama Sino-Asing antara kedua-dua institusi.

Delegasi SCAVC diketuai Naib Presidennya, Profesor Zhou Lin bersama Dekan Sekolah Pembuatan Pintar, Song Ke dan Timbalan Pengarah Jabatan Kerjasama Antarabangsa, Jiao Yibing.

UMPSA pula diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh dan Pengarah Institut Confucius UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Lee Khai Loon.

UMPSA, SCAVC perluas kerjasama akademik, buka laluan pelajar ke peringkat antarabangsa

Sementara itu, UMPSA Advanced diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Ahmad Johari Mohamad bersama Pengurus Besar Kewangan dan Rantaian Bekalan, Azlizal Abu Bakar; Pengurus Pembelajaran Sepanjang Hayat, Haizatul Akma Md Hanafiah; Juruaudit Dalaman dan Pengarah Pusat Pengesahan Kualiti UMPSA, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaiful Abdul Karim serta Pengurus Pusat TVET, Mohd Anuarul Faiz Mohamad Dahalan.

Perbincangan antara kedua-dua institusi memberi tumpuan kepada pencapaian program, kemasukan dan prestasi pelajar, pemerkasaan kualiti kurikulum, pengiktirafan serta pemindahan kredit dan pembangunan kursus bersepadu.
Turut diberi perhatian ialah laluan kemajuan pelajar, pembelajaran sepanjang hayat, mobiliti kakitangan dan pelajar, penyelidikan bersama serta peluang kerjasama dengan pihak industri.

UMPSA, SCAVC perluas kerjasama akademik, buka laluan pelajar ke peringkat antarabangsa

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Lee Khai Loon, kerjasama berkenaan membolehkan kedua-dua institusi menggabungkan kekuatan akademik dan kepakaran UMPSA dengan pengalaman pendidikan vokasional SCAVC.

“Institut Confucius di UMPSA akan terus menyokong kerjasama ini bagi memastikan pelaksanaannya terus berkembang.

“Perbincangan berkaitan kurikulum, pemindahan kredit dan kemajuan pelajar merupakan langkah praktikal untuk menyediakan laluan pendidikan yang lebih kukuh serta peluang yang lebih luas kepada pelajar,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Ahmad Johari berkata, sebagai pengendali Projek Pendidikan Kerjasama Sino-Asing antara UMPSA dan SCAVC, UMPSA Advanced memainkan peranan penting dalam menyelaras pelaksanaan program serta penambahbaikan secara berterusan.

“Lawatan ini membolehkan kami menilai pencapaian program, prestasi pelajar, kurikulum dan hasil audit, selain meneroka peluang dalam pengiktirafan kredit, kemajuan pelajar dan pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia melalui Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat.

“Usaha ini menyokong penyampaian pendidikan transnasional berkualiti tinggi serta pembangunan graduan yang kompeten dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain sesi perbincangan, delegasi UMPSA dan UMPSA Advanced turut menyertai mesyuarat penutup audit, majlis perasmian pengambilan pelajar SCAVC bagi tahun 2026 serta taklimat berkaitan program UMPSA Advanced kepada pelajar.

Lawatan tersebut memperlihatkan komitmen berterusan UMPSA dan SCAVC dalam memperkukuh pendidikan rentas sempadan, memperluas peluang mobiliti dan pembelajaran pelajar serta membina laluan pendidikan yang lebih fleksibel selaras dengan keperluan industri dan perkembangan pendidikan global.

Disediakan Oleh: Nurul Farhana Mohd Sayuti, Confucius Institute (CI)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri