UMPSA sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) perluas penawaran Stand-Alone Micro-credentials
CYBERJAYA, 30 Mei 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperluas akses pendidikan tinggi negara apabila diberi tanggungjawab dan berperanan sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) dalam menjalankan penilaian verifikasi kualiti Stand-alone Micro-credentials (SAMC) bagi tahap Sijil (T-3) hingga ljazah Kedoktoran (T-8) tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Serahan surat kelulusan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran kepada Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias hari ini.
Selain UMPSA, tiga lagi institusi pendidikan terlibat adalah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan MAHSA University.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, pelaksanaan MCs secara stand-alone itu memberikan peluang kepada pelajar, pekerja industri, serta individu yang tidak berada dalam sistem pendidikan formal untuk memperoleh pengiktirafan kemahiran secara lebih anjal dan tersusun.
“Melalui QVC, kita akan memastikan setiap micro-credential yang ditawarkan berasaskan standard kualiti yang ditetapkan sejajar dengan keperluan industri dan kehendak global.
“UMPSA memainkan peranan aktif sebagai hab rujukan QVC khususnya pantai Timur yang merangkumi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
.
“Selain itu, UMPSA juga berperanan menverifikasi SAMC yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi dan penyedia yang ditetapkan dengan menyelaraskan elemen kualiti pelaksanaan serta penilaian pembelajaran seperti yang dianjurkan oleh MQF,” ujar beliau.
Dalam pada masa yang sama, memudah cara pendaftaran program SAMC yang telah disahkan ke dalam Daftar Micro-credential MQA.
Sebagai salah satu institusi pengajian tinggi berteraskan kejuruteraan dan teknologi, UMPSA melalui QVC komited untuk memperluas ekosistem pembelajaran fleksibel dan berterusan yang memenuhi keperluan industri serta komuniti setempat.
Inisiatif ini sejajar dengan Agenda Pendidikan Sepanjang Hayat yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di samping menyokong usaha peningkatan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 55 views