UMPSA sebar luas pendidikan TVET, perkasa kepimpinan mahasiswa
GAMBANG, 19 Jun 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali lagi mengorak langkah memperkukuh Agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dengan menganjurkan Hari Terbuka UMPSA 2025 bersempena dengan Sambutan Hari TVET Negara yang berlangsung selama dua hari mulai 18 hingga 19 Jun 2025 di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Majlis dirasmikan Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak.
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dan Exco Kerajaan Negeri Pahang, Dato‘ Mohd Nizar Mohamad Najib, Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Megat Jalaludin Megat Hassan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr Aida Mustapha.
Menurut Yang Berhormat Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi, Kerajaan Negeri komited dalam memperkasakan pendidikan TVET sebagai pemacu pembangunan masa depan negeri dan negara.
“TVET adalah platform pembangunan modal insan yang bersifat masa hadapan dan berkait rapat dengan industri.
“Kerajaan Negeri Pahang telah mengambil langkah proaktif melalui pelbagai inisiatif seperti penubuhan Akademi Rel Pahang dan biasiswa TVET untuk anak-anak negeri,” ujar beliau dalam ucapannya.
Beliau turut berbangga apabila melihat UMPSA berada di hadapan dalam memperkenalkan TVET bertaraf antarabangsa, termasuk program mobiliti pelajar ke luar negara, kerjasama akademik-industri dan pembangunan kampus pintar.
Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha UMPSA yang terus menerajui bidang TVET bertaraf antarabangsa melalui kerjasama strategik bersama industri dan institusi global seperti Beijing Jiaotong University (BJTU).
Sementara itu, Profesor Dr. Yatimah berkata, penganjuran Program International Young Future Leaders Summit (iFUTURE’25@UMPSA) merupakan satu platform strategik nasional yang diilhamkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai medan terbaik untuk memperkasa kepimpinan mahasiswa berjiwa MALAYSIA.
“Ia membuka ruang untuk generasi pelapis negara memahami dan membincangkan isu-isu nasional serta global melalui wacana, dialog dan sesi libat urus bersama pemimpin,” katanya.
Forum iFUTURE menampilkan sesi berprestij yang dikendalikan oleh Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin sebagai moderator bersama panel jemputan iaitu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Megat Jalaludin Megat Hassan dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato‘ Sri Mohd Nizar Mohamad Najib.
Penganjuran iFUTURE kali ini berlangsung dengan tiga siri yang memberi fokus kepada Pemerkasaan Wanita, Agenda TVET dan Dialog Mahasiswa ASEAN yang menghimpunkan pelajar dari pelbagai universiti luar negara termasuk Universitas Indonesia, Vietnam University of Ho Chi Minh, University of Southeastern Philippines, Svay Rieng University dari Kemboja dan Nanyang Technological University dari Singapura.
Turut berlangsung pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UMPSA dengan Lembaga Kemajuan Negeri Pulau Pinang (PERDA), Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) dan E-Access International College dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Hari Terbuka UMPSA diadakan sebagai menyemarakkan Hari TVET Negara yang dirangka sebagai platform inklusif untuk menghubungkan pelbagai pihak pelajar, komuniti, industri dan pembuat dasar dalam ekosistem pendidikan tinggi yang holistik.
Penganjuran turut dimeriahkan dengan pelbagai program utama termasuk Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2025 yang menampilkan 283 produk penyelidikan dan inovasi daripada UMPSA, IPT, sekolah dan pihak industri.
Turut diadakan Festival Kerjaya UMPSA yang menyediakan lebih 250 peluang kerjaya dan latihan industri melibatkan lebih 20 syarikat.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 18 views