Skip to main content

UMPSA sedia kepakaran dalam pembangunan projek berimpak tinggi

CHERATING, 5 Ogos 2026 - Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan yang sedang dibina di Cherating akan memberi peluang kepada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada Pahang Aerospace City Development Berhad (PAC) menerusi pelaksanaan pelbagai kajian dan penyelidikan dalam pelbagai disiplin kejuruteraan dan teknologi. 

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, pada hari ini delegasi universiti mengadakan lawatan ke tapak pembangunan projek yang akan memanfaatkan kepakaran penyelidik dan tenaga akademik universiti dalam pelbagai disiplin, termasuk kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal, automasi, teknologi aeroangkasa serta infrastruktur pintar.

“Fasa pertama pembangunan ini akan memberi tumpuan kepada pembinaan infrastruktur asas yang akan menjadi platform terbaik untuk UMPSA menjadikan projek itu sebagai living lab, sekali gus membolehkan pensyarah, penyelidik dan pelajar terlibat secara langsung dalam pembangunan projek berimpak tinggi.

"Pendekatan ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara universiti dan industri, malah membolehkan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang menyokong pembangunan negara," ujarnya. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PAC, Profesor Adjung Muhamad Nurazmi Abas berkata, PAC sebagai pemaju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan rakan strategik UMPSA mengalu-alukan para penyelidik dalam memanfaatkan kepakaran dalam fasa pembangunan di tapak projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan ini sebagai ‘living lab’ universiti. 

UMPSA sedia kepakaran dalam pembangunan projek berimpak tinggi

Dalam pada itu, pihaknya juga telah berkolaborasi dengan Scottish Development International dan antara kolaborasi ini juga melibatkan University of Edinburgh dan UMPSA yang juga akan bekerjasama dalam akademik, penyelidikan dan pembangunan keupayaan teknologi angkasa. 

Selain itu, kolaborasi ini turut mencerminkan komitmen bersama ke arah pembangunan angkasa yang mampan dan pembinaan keupayaan tempatan serta kerjasama jangka panjang. 

Hadir sama Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Madya Dr. Noram Irwan Ramli, Pengarah Kanan Pengurusan Kecemerlangan Penyelidikan (REM), Profesor Dr. Abdul Adam Abdullah, Pengarah Pusat Inovasi dan Pangkalan Ilmu Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi Haron dan Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad

Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan merupakan sebahagian daripada pembangunan bandar aeroangkasa masa depan yang menghimpunkan pelbagai industri berteknologi tinggi dengan lapangan terbang itu sebagai nadi utama ekosistem berkenaan.

Lapangan terbang baharu yang bakal dibina ini bukan sekadar berfungsi sebagai lapangan terbang konvensional, malah bakal menjadi omniport pertama di Malaysia yang dilengkapi kemudahan spaceport, vertiport, hyperport, selain hab kargo dan pusat penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih pesawat (MRO).

Kerjasama strategik antara UMPSA dan PAC dijangka memperkukuh ekosistem penyelidikan serta inovasi negara, di samping membuka ruang kepada pembangunan teknologi baharu dan melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri aeroangkasa pada masa depan.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri