UMPSA sedia RM6.2 juta untuk kebajikan pelajar dan insentif kecemerlangan
PEKAN, 4 Oktober 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperuntukkan sebanyak RM6.2 juta untuk kebajikan pelajar termasuk insentif kecemerlangan, insentif pendidikan, program keusahawanan dan mobiliti pelajar pada tahun ini.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar yang juga Pengerusi Yayasan UMPSA, universiti sangat komited memastikan kebajikan pelajar terus terjaga, terutama kalangan B40 yang merangkumi 66 peratus mahasiswa UMPSA.
Usaha yang digerakkan secara bersistematik dan berterusan oleh Yayasan UMPSA bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni sentiasa memastikan tiada mahasiswa UMPSA yang tercicir akibat daripada mempunyai kekangan atau masalah kewangan.

Ujarnya, pada tahun 2024, sebanyak RM2.2 juta telah diagihkan melalui Yayasan UMPSA dalam bentuk biasiswa, dermasiswa, zakat, bantuan pendidikan, bantuan kesihatan dan keperluan asas.
“Pada hari ini, sebanyak RM200,000 diagihkan kepada pelajar baharu UMPSA melalui Insentif Kecemerlangan dan Insentif Pendidikan Yayasan UMPSA.
“Insentif Kecemerlangan diberikan secara one-off kepada pelajar cemerlang lepasan diploma, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf yang memilih UMPSA sebagai universiti pilihan pertama di peringkat ijazah sarjana muda.
“Manakala Insentif Pendidikan pula diberikan secara one-off kepada pelajar baharu daripada keluarga B40, sebagai sokongan awal untuk mengurangkan beban pendaftaran masuk ke UMPSA,” katanya yang hadir dalam Program Pilih untuk Berkongsi di Dewan Serbaguna UMPSA.
Selain itu, seramai 12 pelajar terpilih dalam kalangan keluarga berkeperluan turut menerima biasiswa dan dermasiswa hasil kerjasama Yayasan UMPSA dan Yayasan Noah berjumlah RM260,000 sebagai galakan untuk mencapai kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum.
Beliau turut menyeru pelajar agar dapat memanfaatkan bantuan ini dengan penuh rasa syukur dan menjadikannya pemangkin semangat untuk mencapai kejayaan dalam pengajian seterusnya memberi kembali sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Turut sama hadir Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Datuk Sri Darwis Abdul Razak, Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Datin Nur Sharmila Shaheen, Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Ketua Eksekutif Yayasan UMPSA, Mohd Jamil Mohd Ja’afar.
Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif PIBB, Tuan Syamsul Azuan Ahmad Fauzi, Pengarah Urusan Fieldman EV Sdn. Bhd., Razmi Shah Othman, Pengarah Pusat TVET Termaju, Profesor Madya Datuk Ts. Dr. Mohd Shahrir bin Mohd Sani dan Pen. Tim. Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar.
Dato’ Seri Abdul Razak turut bertukar memorandum persefahaman (MoU) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Public Islamic Bank Berhad (PIBB), Tuan Syamsul Azuan Ahmad Fauzi dan menerima cek cura PIBB sumbangan Wakalah Zakat berjumlah RM75 ribu kepada para mahasiswa yang layak.
Turut berlangsung penyerahan dua buah kenderaan elektrik Changan EADO 460 daripada Fieldman EV Sdn. Bhd. yang akan digunakan untuk penyelidikan dan pengajaran dalam bidang Teknologi EV di Pusat TVET Termaju.
Kenderaan ini juga mampu memberikan impak positif yang besar kepada pengetahuan Baharu dalam teknologi kenderaan elektrik, malah turut melambangkan komitmen tinggi Fieldman EV Sdn Bhd dalam menyokong agenda pendidikan tinggi serta pembangunan mahasiswa.
Lebih 200 pelajar UMPSA hadir menerima Insentif Kecemerlangan dan Insentif Pendidikan Yayasan UMPSA dalam Majlis Pilih untuk Berkongsi hari ini.
Disediakan Oleh: Wallid Wahidi, Pusat Komunikasi Korporat
- 55 views
Reports by: