Skip to main content

UMPSA terima kunjungan delegasi Jabatan Pendidikan Negeri Johor

PEKAN, 10 Ogos 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima kunjungan delegasi daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor sempena dengan Lawatan Verifikasi Industri Program Anak Angkat Penasihat Kerjaya Jabatan Pendidikan Negeri Johor baru-baru ini.
 
Delegasi itu diketuai oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling merangkap Penasihat Kerjaya Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kota Tinggi, Ibrahim Ya’akub bersama 29  orang Penasihat Kerjaya dan Guru Bimbingan melibatkan 30 buah sekolah di sekitar Negeri Johor. 
 
Ketibaan delegasi itu di perkarangan UMPSA disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman. 

Turut sama Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik, Zainal Bahari. 
 
Menurut Ibrahim, kunjungan delegasi ke UMPSA ini bertujuan untuk mendapatkan informasi pendidikan bagi peluang menyambung pelajaran ke peringkat universiti untuk pelajar lepasan Sijil  (Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). 

UMPSA terima kunjungan delegasi Jabatan Pendidikan Negeri Johor

 
Pihaknya berterima kasih kepada UMPSA yang menyambut baik kunjungan ini dan banyak informasi diperoleh terutamanya dalam aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung iaitu sesi Dialog UMPSA, Sesi Taklimat bersama TNC(A&A) dan berpeluang melawat makmal di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).
 
Sementara itu, Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad dalam ucapannya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang memilih UMPSA sebagai destinasi penganjuran program. 

UMPSA terima kunjungan delegasi Jabatan Pendidikan Negeri Johor

“Maklumat sebegini amat penting untuk pihak sekolah bagi membantu memberi kefahaman kepada pelajar lepasan SPM ataupun STPM yang ingin melanjutkan pengajian di universiti yang dipilih,” katanya. 
 
Selain itu, menerusi program sebegini banyak maklumat yang dapat dikongsikan bersama guru-guru terutamanya dalam program Kejuruteraan dan Teknologi yang ditawarkan di universiti ini.

Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri