Skip to main content

UMPSA terima kunjungan IPGKKB dorong perkongsian kepakaran dalam AI dan Inovasi Pembelajaran

PEKAN, 16 Oktober 2025 – Pusat Pembelajaran Fleksibel dan Micro-Credential (FLEXMC), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima lawatan penandaarasan rasmi daripada delegasi Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) sempena Program Pengenalan Kecerdasan Buatan (AI) untuk Pensyarah.

 UMPSA terima kunjungan IPGKKB dorong perkongsian kepakaran dalam AI dan Inovasi Pembelajaran

Delegasi IPGKKB itu diketuai oleh Pengarah IPGKKB, Dr. Hajah Narita Mohd Noor dan pihak FLEXMC pula diketuai oleh Pengarah FLEXMC, Profesor Madya Ts. Dr. Awanis Romli.

Program penandaarasan yang berlangsung di ruang utama FLEXMC itu dihadiri seramai 26 orang Ketua Jabatan dan Unit dari IPGKKB.

Objektif Penandaarasan ini adalah untuk mendapatkan amalan terbaik FLEXMC UMPSA dalam pelaksanaan pembelajaran fleksibel dan micro-credential sekali gus dapat meningkatkan keupayaan tenaga pengajar IPGKKB melalui pendedahan kepada pendekatan inovatif berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dan analitik pembelajaran.

Selain itu ia juga bertujuan untuk meneroka peluang kolaborasi strategik dua hala antara IPGKKB dan UMPSA dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran digital serta transformasi pendidikan.

Profesor Madya Ts. Dr. Awanis juga turut berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), termasuk aplikasi AI dalam reka bentuk pembelajaran digital, analitik pembelajaran, dan automasi penilaian. 

 UMPSA terima kunjungan IPGKKB dorong perkongsian kepakaran dalam AI dan Inovasi Pembelajaran

Beliau juga turut menekankan kepentingan kesediaan tenaga pengajar untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu bagi memperkasa kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di era digital.

Hasil sesi penandaarasan ini turut membuka ruang kepada kolaborasi strategik antara kedua-dua institusi melalui beberapa inisiatif utama, antaranya pembangunan bersama modul Micro-Credential dalam bidang Pendidikan dan Teknologi Pembelajaran serta kolaborasi geran penyelidikan dalam bidang Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang menumpukan kepada inovasi digital dan AI dalam pendidikan. 

Selain itu, kedua-dua institusi juga bakal bekerjasama dalam penganjuran Persidangan University Teaching and Learning Innovation Carnival (UTLIC) 2026 yang dijangka memperkukuh perkongsian ilmu antara ahli akademik UMPSA dan IPGKKB di peringkat nasional.

Dalam ucapan balasnya, Dr. Hajah Narita merakamkan penghargaan kepada pihak FLEXMC atas kesudian menerima lawatan ini dan menyatakan hasrat untuk memperluas jalinan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.

Program ini mencerminkan komitmen FLEXMC dalam memperkukuh jaringan akademik dan profesional dengan institusi pendidikan di seluruh negara, sejajar dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memartabatkan inovasi, digitalisasi, dan fleksibiliti dalam pembelajaran sepanjang hayat.

Disediakan Oleh: Mohd Shahri Mohd Akhir, Pusat Pembelajaran Fleksibel Dan Micro -Credential (FLEXMC)

Reports by:
AINIEY