Skip to main content

UMPSA terus mempergiat usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu

PEKAN, 8 Ogos 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mempergiat usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan menganjurkan siri program dan latihan bahasa Melayu. 

Buat julung-julung kalinya, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar dan dengan kerjasama Pusat Bahasa Moden (PBM) telah menganjurkan program Bicara Munsyi@UMPSA ‘Nampak Betul Tapi Salah’ di Dewan Kuliah Utama, PBM, UMPSA Pekan. 

Menurut Munsyi Dewan, Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Haji Shamdzul Ahmad, penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah suatu yang tidak boleh dikompromi

UMPSA terus mempergiat usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu

“Di samping itu juga, penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama komunikasi antarabangsa tidak harus diabaikan,” ujarnya. 

Beliau turut menerangkan mengenai kenal pasti kesalahan am tatabahasa, ejaan dan istilah dalam konteks kehidupan harian dan di tempat kerja. 

Inisiatif kerjasama ini bertitik-tolak daripada Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam (A) 2023-2030 yang dirumuskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). 

Pelan komprehensif ini mencakupi empat objektif utama dan dipacu oleh empat teras. 

Pihak kementerian telah menyenaraikan 11 strategi dan 26 inisiatif pelaksanaan bagi UA untuk menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan ini. 

UMPSA juga tidak ketinggalan untuk mendokong aspirasi ini.

Manakala menurut Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi, program ini untuk bertujuan memperkukuh jati diri sebagai warga nusa yang cinta akan bahasa dan budaya. 

“Saya berharap agar UMPSA dan DBP boleh menjalinkan kerjasama yang lebih baik di masa akan datang bagi meneruskan sinergi pemartabatan bahasa Melayu,” katanya. 

Seramai 111 orang peserta yang terdiri daripada staf akademik dan staf pentadbiran hadir di program tersebut. 

Terdahulu para peserta yang hadir telah dipertontonkan dengan beberapa klip video ‘UMPSA Cakna Bahasa Melayu’ yang telah dimuat naik ke aplikasi Tik Tok sebelum ketepatan penguasaan bahasa Melayu mereka diuji dalam acara kuiz ringkas. 

Sebanyak dua puluh soalan telah diajukan yang merangkumi soalan-soalan berasaskan kesalahan tatabahasa dan ejaan, penggunaan istilah yang tepat, serta juga menyambung peribahasa Melayu. 

Para pemenang telah membawa pulang pelbagai hadiah menarik di samping dapat memperkukuh penguasaan bahasa Melayu mereka. 

Disediakan Oleh: Hamizah Zahari Dan Dr Fatimah Ali, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri