Skip to main content

UMPSA teruskan kepimpinan pengurusan kualiti UA melalui MPQ-UA 2026

MELAKA, 4 Februari 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) secara rasminya memulakan peranan sebagai Pengerusi dan Sekretariat Majlis Pengurusan Kualiti Universiti Awam (MPQ-UA) bagi sesi 2026–2027 menerusi penganjuran Mesyuarat MPQ-UA Bil. 1/2026 yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini. 

Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Penolong Naib Canselor (Strategi Korporat) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh.

Turut hadir pengarah-pengarah pusat jaminan kualiti UA, wakil Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), wakil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), serta wakil pengurusan kualiti dari semua UA di Malaysia.

Untuk makluman, MPQ-UA berfungsi sebagai medium kerjasama UA dalam perkongsian amalan terbaik, perbincangan isu pengurusan kualiti dan akademik, serta perancangan inisiatif berkaitan kualiti di peringkat nasional. 

Pelantikan Pengerusi dan Sekretariat MPQ-UA dilaksanakan secara penggiliran setiap dua tahun melalui undian ahli. 

Mesyuarat ini turut menekankan keperluan pematuhan berterusan terhadap dasar dan kerangka jaminan kualiti nasional selaras dengan keperluan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia.

Terdahulu, UMPSA telah menerima penyerahan tugas sebagai Pengerusi dan Sekretariat MPQ-UA daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung pada 26 Januari 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Al-Biruni, Fakulti Sains dan Teknologi, UMS.

Penyerahan tugas tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Jaminan Kualiti UMS merangkap Pengerusi MPQ-UA sesi 2024/2025, Profesor Ir. Ts. Dr. Zainal Zakaria kepada Profesor Ts. Dr. Kamal  Yusoh sebagai Pengerusi MPQ-UA bagi sesi 2026/2027.

Turut hadir dalam majlis penyerahan berkenaan ialah barisan Sekretariat MPQ-UA sesi 2026/2027 iaitu Setiausaha, Hazlina Faizal, dan Sekretariat, Zainab Daud serta  Nur Umirah Abu Kassim. 

Majlis ini turut disertai oleh sekretariat sesi terdahulu iaitu Mashilla Nilus dan Aevenna Petrus.

UMPSA teruskan kepimpinan pengurusan kualiti UA melalui MPQ-UA 2026

Mesyuarat MPQ-UA Bil. 1/2026 ini turut merangkumi sesi penanda aras melibatkan pelaksanaan Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan, amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) serta Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) sebagai usaha memperkukuh pelaksanaan pengurusan kualiti di universiti awam.

UMPSA merakamkan penghargaan kepada UMS atas komitmen dan sumbangan sepanjang tempoh memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Sekretariat MPQ-UA, serta akan meneruskan usaha pengukuhan pengurusan kualiti UA secara bersepadu. 

UMPSA turut berharap agar sepanjang tempoh memegang peranan sebagai Pengerusi dan Sekretariat MPQ-UA, kerjasama padu daripada semua UA dapat terus diperkukuh bagi menyokong pelaksanaan agenda pengurusan kualiti secara bersepadu di peringkat nasional.

Disediakan Oleh: Hazlina Faizal, Pusat Pengurusan Strategik & Kualiti (PPSK) dan Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri