UMPSA tingkat kawalan keselamatan dan kesejahteraan kampus
GAMBANG, 18 Januari 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meningkatkan rondaan dan kawalan keselamatan di kampus serta menasihatkan semua pelajar agar sentiasa berhati-hati di Residen Pelajar dan sekitar kampus, khususnya pada waktu malam di kedua-dua kampus Pekan dan Gambang.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, pihak universiti mengambil serius tentang keselamatan dan kesejahteraan pelajar ketika berada di dalam kampus universiti.
“Pihak UMPSA telah mengambil tindakan segera dengan inisiatif baharu dalam menangani isu keselamatan di Residen Pelajar (RP) antaranya dengan menempatkan Pengawal Keselamatan di Pondok Keselamatan RP 3 bermula 17 Januari 2025,” katanya yang mengulas berkaitan isu keselamatan dalam kampus.
Selain itu, pihak Bahagian Keselamatan juga akan mengadakan rondaan berkala terutamanya di kawasan RP yang akan dilaksanakan secara berjadual.
Dalam pada itu, pihaknya juga sedang mengkaji cadangan pemasangan CCTV di beberapa lokasi yang dikenali pasti dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga kampus terjamin.
Pihak universiti menasihatkan semua pelajar agar berada di dalam premis RP selepas tengah malam kecuali dengan kebenaran yang diberikan oleh pengetua.
Malahan beliau juga turut mengingatkan bahawa pemis RP adalah kawasan larangan bagi pelajar selain penghuni residen sahaja.
Universiti akan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah Kaedah - Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) (Tatatertib Pelajar) 2024
UMPSA mengingatkan seluruh warga universiti agar segera melaporkan kepada pihak Bahagian Keselamatan UMPSA (09-4315005) atau kefeloan di setiap RP jika berlaku sebarang kecemasan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 320 views