Skip to main content

UMPSA tuan rumah RBTX Petrosains Challenge 2024 Peringkat Zon Timur

PEKAN, 4 September 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi tuan rumah bagi Pertandingan RBTX Petrosains Challenge 2024 Peringkat Zon Timur 2024 di Dewan Serbaguna, UMPSA Pekan.

Majlis perasmian RBTX Petrosains Challenge 2024 Peringkat Zon Timur 2024 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa.

Pada awalnya, pertandingan ity telah berlangsung di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Pulau Pinang bagi Zon Utara dan UniKL BMI, Gombak bagi Zon Tengah. 

Selepas UMPSA, pertandingan ini akan dianjurkan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah, Melaka bagi Zon Selatan dan Kolej Vokasional Likas, Kota Kinabalu, Sabah bagi Zon Borneo.

Lebih 500 peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dari sekitar negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu hadir bagi menyertai pertandingan itu untuk bertarung bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya. 

Tiga kategori utama yang dipertandingkan iaitu Robo Tracer, Robo Sumo dan Innovation. 

UMPSA tuan rumah RBTX Petrosains Challenge 2024 Peringkat Zon Timur

UMPSA melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) bekerjasama dalam menjayakan program itu dan terlibat secara langsung sepanjang program ini berlangsung dengan kerjasama dari staf sebagai sukarelawan program.

 
RBTX Petrosains Challenge 2024 ialah acara untuk semua peminat robotik berkumpul bagi bersaing dan melawan ciptaan robot mereka. 

Ia juga bertujuan untuk terus menyediakan platform universal untuk semua lapisan masyarakat untuk belajar, meneroka dan bertukar pengetahuan dan idea tentang robotik dan aplikasinya terhadap kehidupan sebenar.

Cabaran RBTX Petrosains 2024 ini juga merupakan  inisiatif yang dianjurkan oleh Petrosains dan diperakui oleh Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Ahmad Shazly Ramli berkata Petrosains telah mula menganjurkan program robotik ini sejak tahun 2018 lagi dan matlamat utama Program Petrosains RBTX Challenge direka ialah untuk mendemostrasikan pembelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) serta memupuk bakat Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu semua lapisan masyarakat.

“Sebagai peserta, mereka berpeluang menggunakan perisian pengekodan terbuka (open-source software) dan pelbagai peralatan robotik tanpa had dalam meneruskan minat dalam robotik. 

“Para peserta bebas membeli peralatan dalam talian, apa saja jenama asalkan mengikut terma dan syarat pertandingan,” katanya. 

“Kakitangan Petrosains berguru dengan penasihat-penasihat yang terdiri daripada pakar dari universiti-universiti tempatan terkemuka seperti UMPSA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL-BMI) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP),” ujarnya. 

Katanya, mereka sentiasa berkongsi amalan-amalan terbaik, memberi maklum balas yang positif dan konstruktif, berkongsi idea-idea inovatif serta sentiasa mencabar kami supaya terus berusaha ke arah ‘world-class robotic competition’.

“Ini secara tidak langsung telah mendorong peserta supaya sentiasa bersemangat berusaha untuk sampai ke tahap cemerlang dalam bidang STEM,” katanya. 

Menurut Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa, dalam dunia yang berubah dengan pantas, kemahhiran dan pengetahuan yang diperoleh melalui STEM adalah sangat penting dalam menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran dan peluang yang ada.

“Robotik, khususnya, menawarkan platform unik untuk pelajar mengaplikasikan pemahaman mereka tentang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik dalam cara yang praktikal dan inovatif. 

“Ia menggalakkan kreativiti, menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis iaitu kemahiran yang sangat diperlukan untuk berjaya dalam abad ke-21 ini,” katanya.

Manakala menurut Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal, kerjasama antara UMPSA, Petrosains dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembudayaan kemahiran teknologi digital yang menjadi tunjang dalam era digital hari ini.

“Adalah menjadi hasrat UMPSA untuk menginspirasikan minda muda, memupuk potensi, dan membimbing mereka ke arah masa depan di mana mereka boleh menyumbang secara bermakna kepada kemajuan teknologi di Malaysia,” ujarnya.

Hadir sama, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Ahmad Shazly Ramli dan Dekan FTKEE, Profesor Ts. Dr. Hamdan Daniyal.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad