UMPSA universiti paling lestari bawah usia 50 tahun, ketiga di Malaysia
KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju kelestarian apabila diiktiraf sebagai universiti paling lestari dalam kalangan institusi berusia bawah 50 tahun di Malaysia, selain menduduki tempat ketiga universiti paling lestari negara menerusi penarafan UI GreenMetric World University Rankings 2026.
Pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkasakan agenda kelestarian secara menyeluruh, merangkumi pengurusan kampus, pendidikan, penyelidikan dan inovasi ke arah menyokong pembangunan mampan.
Dalam penarafan berkenaan, Universiti Malaya (UM) menduduki tempat pertama, diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) di tempat kedua, manakala UMPSA berada di kedudukan ketiga di Malaysia.
Pengiktirafan itu diumumkan pada Majlis Penyampaian Anugerah UI GreenMetric 2026 yang berlangsung di Sunway University, hari ini.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pengerusi UI GreenMetric Indonesia, Dr. Vishnu Juwono, kepada Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.

Turut hadir Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC) UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain dan Group Chief Executive Officer (CEO) Sunway Education, Profesor Dato’ Elizabeth Lee, Provost dan Timbalan Naib Canselor, Sunway University, Profesor Abhi Vertakumarasivam.
Profesor Ts. Dr. Yatimah berkata, pengiktirafan itu amat bermakna dan menjadi pemangkin kepada universiti untuk terus memperkukuh budaya kelestarian dalam setiap aspek pengurusan serta operasi kampus.

“Usaha membudayakan kelestarian tidak hanya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur hijau, malah merangkumi pengurusan sumber secara cekap, amalan mesra alam, penggunaan teknologi serta penglibatan aktif seluruh warga universiti.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen UMPSA dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta memperkukuh pelaksanaan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melalui pelbagai inisiatif kampus hijau, pengurusan tenaga dan air secara cekap, pengurusan sisa, pengangkutan lestari serta pengukuhan pendidikan dan penyelidikan berkaitan alam sekitar.
“Usaha ini turut merangkumi aspek tanggungjawab sosial, penglibatan komuniti dan amalan tadbir urus yang baik bagi memastikan agenda kelestarian dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, usaha ini memerlukan komitmen berterusan seluruh warga universiti bagi memastikan amalan kelestarian bukan sekadar menjadi inisiatif, sebaliknya dibudayakan dalam kehidupan seharian dan setiap proses pengurusan kampus.
“Sebagai universiti yang baharu menjangkau usia 25 tahun, UMPSA akan terus memperluas dan memperkukuh pelaksanaan inisiatif kelestarian secara bersepadu bagi memastikan pembangunan institusi itu seiring dengan keperluan pemeliharaan alam sekitar, kesejahteraan komuniti serta aspirasi pembangunan mampan negara.
“Pencapaian itu turut memperkukuh aspirasi UMPSA untuk muncul sebagai universiti teknikal terkemuka negara yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang pendidikan dan penyelidikan, malah bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
Pengiktirafan menerusi UI GreenMetric 2026 itu sekali gus menjadi dorongan kepada UMPSA untuk terus memperkasakan agenda kampus hijau dan menjadikan kelestarian sebagai asas penting dalam pembangunan universiti demi manfaat masyarakat serta masa depan yang lebih mampan.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC)
- 3 views
Reports by: