UTM KCP ke UMPSA – Naratif Awal Universiti daripada Perspektif Seorang Perintis
PEKAN, 10 September 2025 - Kesinambungan daripada Bengkel Pembangunan Sejarah Lisan: Mengabadikan Pengalaman dan Kisah yang diadakan pada Mei 2025 yang lepas, Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memulakan langkah awal dengan penganjuran program ‘Jejak Sejarah UTM KCP–KUKTEM–UMP–UMPSA: Perspektif Seorang Perintis’ bagi merakam pengalaman tokoh awal universiti sebagai khazanah institusi.
Program ini diadakan bagi mencapai matlamat dan objektif Perpustakaan UMPSA untuk membangunkan koleksi sejarah lisan dari tokoh yang dikenal pasti, menghasilkan bahan sejarah lisan untuk tujuan penyelidikan, pendidikan, arkib dan mendokumentasikan serta melestarikan warisan sebagai bahan sejarah masa depan.
Siri pertama membuka tirai dengan tokoh yang cukup dikenali di UMPSA iaitu mantan Pengarah Kampus UTM Kampus Cawangan Pahang, Timbalan Rektor dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) pertama UMPSA, Profesor Emeritus Dato’ Ts. Dr. Mortaza Mohamed.
Beliau adalah antara insan terawal yang berperanan besar semasa penubuhan universiti sejak era UTM-KCP.
Proses temu bual bersama Profesor Emeritus Dato' Ts. Dr. Mortaza itu dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan, Iswan Akim Ismail.

Sepanjang satu jam berlangsungnya sesi temu bual itu, pelbagai kisah, pengalaman dan sejarah penubuhan serta pembangunan UMPSA telah berjaya dirakam, bermula dengan Slot 1 (Universiti Teknologi Malaysia – Kampus Cawangan Pahang, UTM-KCP), Slot 2 (Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia, KUKTEM), Slot 3 (Universiti Malaysia Pahang, UMP dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, UMPSA).
Profesor Emeritus Dato’ Ts. Dr. Mortaza turut mengulas tentang perkhidmatan beliau bermula dari UTM sehinggalah UMPSA adalah kemenangan tidak diraikan, kesukaran tidak diambil kisah, yang penting jalankan tanggungjawab dan mencari keredaan daripada Allah SWT.
“Sesi ini sangat baik kerana dapat merakam non-written knowledge yang tidak dapat dari teks kertas kerja semata-mata.
“Melalui sesi ini juga kita dapat mendengar sendiri cerita, cita-cita dan perasaan yang tidak pernah ditulis.
“Perpustakaan haruslah menjemput lagi tokoh-tokoh lain yang bersesuaian dengan topik yang berkaitan dengan sejarah UMPSA,” ujarnya.
Ketua Pustakawan, Hajah Kamariah Gono pula berpandangan bahawa inisiatif program sejarah lisan ini merupakan langkah awal pihak perpustakaan dalam mendokumentasikan sejarah penubuhan UMPSA sebagai rujukan generasi akan datang.
“Inisiatif ini selaras dengan nilai teras university iaitu proaktif dalam tindakan.
“Perpustakaan mengambil langkah merakam tacit knowledge untuk dijadikan sumber rujukan berulang kali, yang diperoleh secara langsung daripada tokoh-tokoh yang terlibat dalam penubuhan awal universiti,” katanya.
Disediakan Oleh: Amelia Hasan, Perpustakaan UMPSA
- 109 views
Reports by: